Ramanan. (Kredit: Awani).
Ramanan. (Kredit: Awani).

Permohonan subsidi yuran IPT masih dibuka - Mitra

02 Sep 2023 06:04am



Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) masih lagi membuka permohonan bagi subsidi bayaran yuran semester sekali bayar sebanyak RM2,000 sehingga 15 September ini yang menyasarkan 10,000 pelajar dalam pengajian tahun kedua, ketiga atau tahun akhir pengajian ijazah sarjana muda.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khasnya, Datuk R Ramanan, bantuan tersebut tidak mengira status penuntut tersebut sama ada dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Beliau turut berkata, Mitra setakat 31 Ogos ini telah menerima sebanyak 8,583 permohonan semenjak ia dibuka pada Mei lepas,

Jelasnya, sebahagiannya telah diproses serta dana telah dikreditkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pelajar.

Artikel Berkaitan:


Ujar beliau memetik Bernama pada Jumaat, syarat permohonan adalah mudah yang mana pemohon hanya perlu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan merupakan pelajar dengan status aktif di institusi pengajian tinggi (IPT).

Mengenai Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan melibatkan dana RM10.8 juta, Ramanan berkata, sehingga 31 Ogos, Mitra telah menandatangani 107 dokumen perjanjian melibatkan 107 tadika dan sedang dalam proses bayaran untuk baki 38 tadika.

Secara keseluruhannya, program berkenaan melibatkan 145 tadika dan 3,916 kanak-kanak, yang akan menerima subsidi bernilai RM200 sebulan meliputi yuran tadika dan sarapan pagi untuk 12 bulan serta dibayar terus kepada pengusaha tadika.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp