
Persekitaran seronok di sekolah tarik minat pelajar
Februari lalu merupakan bulan mencabar bagi ibu bapa yang mendaftar anak-anak terutama bagi kemasukan Tahun Satu mahupun prasekolah.
Suasana di hari pendaftaran cukup menggamatkan dengan gelak tawa mahu pun riak tangisan.
Jika diungkap kembali sekolah bukanlah sekadar tempat untuk menuntut ilmu, walakin (tetapi) merupakan ruang pelajar berkembang secara sosial, emosi dan intelek.
Salah satu faktor penting yang memainkan peranan besar dalam menarik minat pelajar hadir dan terus terlibat dalam proses pembelajaran adalah persekitaran sekolah itu sendiri.
Persekitaran yang seronok, aman dan positif mampu memberi impak besar terhadap motivasi pelajar sekali gus menggalakkan mereka untuk lebih aktif serta bersemangat dalam setiap aspek kehidupan sekolah dan merangsang minda kognitif untuk terus berkembang seiring teknologi kecerdasan buatan (AI).
Persekitaran yang seronok di sekolah bukan sahaja membuatkan pelajar merasa lebih selesa tetapi ia mempengaruhi sikap mereka terhadap pembelajaran.
Sebagai contoh, jika sesebuah sekolah menyediakan suasana penuh dengan sokongan sosial, kemudahan yang lengkap dan aktiviti menyeronokkan, pelajar akan lebih berminat datang ke sekolah dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Salah satu cabaran besar dihadapi sekolah kini adalah memastikan pelajar kekal bermotivasi dalam suasana penuh dengan tekanan akademik.
Namun, dengan persekitaran yang menyenangkan, pelajar dapat mengatasi tekanan itu sekali gus sekolah menjadi tempat yang tidak hanya untuk belajar tetapi juga bersosial, bermain dan menikmati pengalaman baharu.
Aktiviti sukan, seni dan kelab tentunya adalah antara cara yang paling berkesan untuk mencipta persekitaran yang seronok di sekolah.
Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengeksplorasi bakat mereka tetapi membina semangat berpasukan atau pun esprit de corps [esprit de corp (ayat Perancis) ~ perasaan setia dikongsi ahli kumpulan atau semangat kumpulan (pasukan) serta disiplin.
Pelajar yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum sering kali menunjukkan peningkatan dalam pencapaian akademik, kerana mereka lebih termotivasi dan berdaya saing serta berasa lebih seimbang dalam kehidupan mereka.
Salah satu cara untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik adalah dengan mengintegrasikan teknologi, permainan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan aplikasi pembelajaran, video interaktif dan permainan pendidikan boleh menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan serta lebih mudah diingati oleh pelajar.
Ia membantu pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza untuk belajar dengan cara yang lebih sesuai dengan mereka.
Contohnya melalui pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), robot digunakan secara meluas sekali gus boleh digunakan sebagai alat pengajaran untuk membantu pelajar mempelajari pengetahuan teknikal seperti pengaturcaraan, mekanik, elektronik serta memupuk pelajar kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah dan semangat kerja berpasukan melalui operasi amali dan aktiviti amali.
Selain pelajar diterapkan dengan budaya pembelajaran untuk menjawab kuiz melalui aplikasi Kahoot mampu merangsang para pelajar untuk menggunakan teknologi selain menjawab soalan dengan tempoh masa yang ditetapkan.
Dalam dunia pendidikan, setiap murid adalah unik dan mempunyai potensi berbeza-beza. Terdapat pelbagai jenis murid termasuklah yang mempunyai kelemahan dalam pelbagai aspek akademik dan kemahiran.
Tugas sebagai pendidik adalah untuk memberikan sokongan kepada murid-murid lemah ini dengan tujuan membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan juga perkembangan diri.
Selain itu, satu aspek yang sering dipandang ringan tetapi sangat penting dalam mewujudkan persekitaran yang seronok di sekolah adalah hubungan antara guru dan pelajar.
Seorang guru yang mesra dan penyayang selain memahami pelajar akan membuatkan pelajar berasa lebih dihargai dan selesa.
Guru yang sentiasa memberikan sokongan moral, bukan hanya dalam pelajaran tetapi juga dalam kehidupan peribadi pelajar akan meningkatkan motivasi dan minat pelajar terhadap sekolah.
Maklumat Penulis:
Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhamad Azuan Mohamad Nasir
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my