
Dapat tawaran SBP, tapi tolak! 'Dia menangis & katanya tidak mahu susahkan ibu bapa. Saya cuba pujuk' - Fadhlina
Sekolah Berasrama Penuh (SBP) merupakan institusi pendidikan unggul yang menjadi idaman ramai pelajar di Malaysia.
SBP terkenal dengan kecemerlangan akademik, kokurikulum yang aktif, persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berdaya saing.
Bagaimanapun, ramai pelajar yang menolak tawaran ke SBP atas pelbagai sebab yang berbeza.
Salah satu faktor utama ialah masalah kewangan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, dirinya paling ralat jika pelajar daripada keluarga B40 menolak tawaran ke SBP kerana kemiskinan keluarga.
"Ada pelajar yang cerdik dan baik telah mendapat tawaran beberapa sekolah termasuk SBP. Namun dia menolak kerana kekangan kewangan keluarga.
"Saya mulakan sesi pujuk memujuk menerusi ibu bapanya terlebih dahulu. Saya beri keyakinan yang isu perbelanjaan dan bantuan tidak perlu dibimbangkan termasuklah bantuan persekolahan yang boleh diuruskan," tulisnya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Selesai bahagian ibu bapa, Fadhlina memujuk pula anak itu supaya menerima tawaran SBP.
"Memujuk anak jauh lebih susah. Dia menangis. Saya pun menangis. Dia terharu. Saya yang pilu. Kebimbangannya jelas. Tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. Nampak sangat berat beban mahu meninggalkan keluarga. Walaupun beban kewangan bukan lagi isu setelah saya memberikan jaminan, anggap sahaja selesai kerana saya ada.
"Dengan sopan, dia meminta masa dan ruang perbincangan. Saya sebut kepadanya, apa pun pilihan, saya akan sokong tetapi yang penting mesti terus belajar," katanya.
Di akhir catatan itu, Fadhlina memaklumkan bahawa usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memberi sokongan kepada anak-anak B40 sentiasa berterusan dan bukan setakat di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
"Malah Menteri pun harus membantu meyakinkan anak ini. Keciciran 'is a non negotiable'. Semua pihak mesti turun hingga ke akar umbi.
"Kita doakan yang terbaik. Soalnya bukan tempat belajar, tetapi kemahuan untuk terus belajar. Tidak mengapa anakanda.
"Ambillah masa mengikut keselesaan anakanda. Makcik (Fadhlina) setia menunggu jawapan anakanda," tulisnya lagi.