Setiap kali hujan lebat air sungai akan melimpah ke kawasan sekolah memasuki kelas dan merosakkan harta benda. (Gambar hiasan)
Setiap kali hujan lebat air sungai akan melimpah ke kawasan sekolah memasuki kelas dan merosakkan harta benda. (Gambar hiasan)

PIBG SK Dato' Wan Kemara mohon penyelesaian masalah banjir

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
20 Sep 2024 03:26pm
A
A
A

Masalah banjir yang dihadapi Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara, Changlun dekat sini akibat limpahan Sungai Laka memerlukan penyelesaian jangka panjang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zainol Abidin Mohamad berkata, setiap kali hujan lebat air sungai akan melimpah ke kawasan sekolah memasuki kelas dan merosakkan harta benda.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah tersebut mendapat perhatian pihak kerajaan dan peruntukan disediakan untuk membina tembok konkrit bagi menghalang kemasukan limpahan air sungai ke kawasan sekolah.

"Limpahan air dari sungai ini akan memasuki kawasan sekolah dan menyebabkan kerosakan kepada harta benda sekolah, kerusi meja, kemudian kita nak kena cuci kawasan sekolah, kemudian nak kena guna tenaga guru dan ibu bapa untuk cuci kawasan sekolah.

"Kita boleh elakkan banjir sekolah ini dengan bina tembok konkrit yang tinggi agar air dari kawasan sungai tidak masuk ke kawasan sekolah, sekolah ini akan selamat walaupun hujan lebat," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan seterusnya kepada Kementerian Pendidikan selain menggesa ia dilaksanakan secepat mungkin.

Dalam pada itu katanya sekolah berkenaan dilanda banjir Selasa lepas yang surut kelmarin dan telah dibersihkan, sekali gus membolehkan persekolahan diteruskan Ahad ini. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok