PICKids secara walk in bermula 1 Mac di PPV terpilih

Adlan Farhan Azwan
25 Feb 2022 12:08pm
A
A
A

Putrajaya - Ibu bapa atau penjaga yang ingin membawa anak-anak untuk mendapatkan vaksin, boleh hadir secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang terpilih bermula 1 Mac 2022.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan mengeluarkan senarai PPV berkenaan melalui laman sesawang JKN masing-masing dalam masa terdekat.

Baca juga

Peningkatan 160 peratus kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa digalakkan melakukan pendaftaran PICKids.

Radzi bawa anak bongsu ambil vaksin, PICKids ternyata cepat dan teratur

“Ibu bapa dan penjaga disarankan agar lebih peka untuk menyemak terlebih dahulu senarai PPV yang melaksanakan vaksinasi secara walk in dan mengambil kesempatan untuk vaksin anak-anak mereka semasa cuti sekolah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan mengaktifkan sistem tempahan janji temu di dalam aplikasi MySejahtera secara berperingkat hari ini bagi mendapatkan tarikh vaksinasi bermula 7 Mac 2022.

“Melalui kaedah ini ibu bapa atau penjaga boleh memilih tarikh, masa dan pusat pemberian vaksin yang bersesuaian.

"Setakat ini, seramai 661,752 orang bersamaan 18.6 peratus kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun telah menerima dos satu vaksin Covid-19.

“Purata vaksinasi yang diberikan adalah sekitar 50,000 dos sehari dan sekiranya kapasiti ini ditingkatkan sebanyak 60,000 sehari, sasaran 70 peratus kanak-kanak menerima dos satu boleh dicapai pada hujung bulan Mac 2022,” ujarnya.

Dalam pada itu, kluster pendidikan mencatat angka yang membimbangkan apabila Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat 107 kluster melibatkan 4,633 kes positif Covid-19 direkodkan bagi tempoh 1 hingga 25 Januari.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan ketara itu dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan tahun 2022 berbanding sesi persekolahan tahun sebelumnya.

“Kejadian ini berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama.

“Pihak sekolah dinasihatkan untuk mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok