Peningkatan 160 peratus kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa digalakkan melakukan pendaftaran PICKids.

Adlan Farhan Azwan
18 Feb 2022 06:28pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak mencatat peningkatan sebanyak 160 peratus setakat ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebanyak 6,524 kes dicatat melibatkan bayi baru lahir sehingga kanak-kanak berumur 11 tahun.

“2,282 kes dikesan membabitkan bayi baru lahir hingga kanak-kanak berusia empat tahun dan 4,242 kes lain membabitkan usia lima tahun dan ke atas.

“Bagi minggu keenam pula, sebanyak 16,159 kes direkodkan dengan 10,796 kes membabitkan usia bayi baru lahir hingga kanak-kanak berusia empat tahun dan 6,613 kes membabitkan lima tahun ke atas.

Baca juga

Radzi bawa anak bongsu ambil vaksin, PICKids ternyata cepat dan teratur

PICK-R daerah Klang capai sasaran, 72,185 pelajar lengkap dua dos vaksin

“Kami juga melihat peningkatan kes kemasukan kanak-kanak ke hospital sejak akhir-akhir ini selari peningkatan kes,” jelasnya dalam satu sidang akhbar semalam.

Khairy meluahkan kebimbangan beliau terhadap peningkatan ini dan berpendapat ia perlu ditangani menerusi pemberian vaksin, seperti ditawarkan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Beliau berkata penerima dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa agak baik, namun kadar pendaftaran masih rendah dengan tidak mencapai sejuta jumlah pendaftaran.

“Vaksin untuk kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah belum diluluskan mana-mana negara, namun vaksin untuk kanak-kanak berusia lima tahun sehingga 11 tahun sudah diluluskan dan sedang dilaksanakan.

“Setakat ini, vaksinasi terhadap kanak-kanak di negara ini tidak mengundang kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang serius,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Justeru itu, Khairy harap peningkatan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak ini berupaya memberi kesedaran dan memacu peningkatan kadar pendaftaran PICKids.

Beliau juga tidak menolak sebarang kemungkinan peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak ini ada kaitan dengan pembukaan institusi pendidikan.

Ibu bapa yang ingin membuat janji temu untuk anak perlu memuat turun aplikasi MySejahtera terlebih dahulu. Kemudian ikut langkah di bawah:

  1. Pergi ke aplikasi MySejahtera, pilih COVID-19 Vaccination dan klik pada Add Vaccine Dependent
  2. Klik butang Add Vaccine Dependent dan lengkapkan borang yang disediakan. Anda juga boleh tambah lebih dari satu dependent bergantung kepada jumlah anak.
  3. Sahkan pendaftaran dan jawab soalan yang disediakan
  4. Pastikan anak-anak didaftarkan pada satu akaun MySejahtera sahaja, sama ada dia akaun anda atau pun akaun pasangan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok