
Pelajar Darul Quran JAKIM raih Anugerah Perdana Menteri...'Dia bangun 4.30 pagi demi al-Quran'
Bangun seawal jam 4.30 pagi setiap hari bukanlah perkara mudah, apatah lagi bagi seorang remaja yang masih menuntut ilmu.
Namun, rutin itu telah sebati dalam kehidupan pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Darul Quran JAKIM, Wan Wardatul Aini Wan Mohd Zahari.
Setiap hari, dirinya memulakan langkah dengan qiyamullail, hafazan dan murajaah sebelum menyambung ke kelas akademik, kokurikulum dan ulang kaji malam.
Walau jadual padat sering menguji ketahanan fizikal dan emosi, dia kembali mengingatkan diri bahawa perjuangan ini semata-mata kerana ALLAH.
Disiplin luar biasa yang dimiliki anak kelahiran Kuala Terengganu ini akhirnya melayakkan dia sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri kategori wanita dalam Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Kali ke-33 baru-baru ini.
"Saya tidak pernah menjangka akan menerima anugerah ini. Ramai lagi rakan-rakan yang hebat dan layak. Tapi saya yakin ini adalah nikmat dan rezeki daripada ALLAH serta hasil doa ibu bapa dan tunjuk ajar guru-guru,” kongsinya di Facebook Darul Quran JAKIM.

Sejak usia lima tahun, Wan Wardatul Aini sudah diasuh dengan tarbiah al-Quran di Maahad Tahfiz Qasimul Ulum (MATAQU), Batu Caves, Selangor.
Di sinilah, selama 14 tahun, beliau mendidik diri dengan hafazan ketat, disiplin imtihan juzuk demi juzuk, sebelum akhirnya menamatkan hafazan 30 juzuk pada usia 15 tahun.
"Saya dilatih untuk tidak tergesa-gesa. Setiap juzuk mesti maqbul sebelum ke juzuk baharu. Ia mengajar saya sabar, teliti dan menjaga kualiti hafazan,” jelasnya.
Cemerlang dalam kokurikulum & kepimpinan
Tidak hanya menumpukan hafazan, Wan Wardatul Aini juga menyerlah sebagai pelajar serba boleh.
Beliau pernah menyandang jawatan Naib Pengerusi Pelajar Darul Quran, Timbalan Bendahari Persatuan Silat Gayong dan aktif dalam PERKEMAT.
Lebih membanggakan, gadis muda ini berani menyahut cabaran dalam debat Bahasa Arab, musabaqah hafazan, program kebajikan serta pelbagai aktiviti kemahiran insaniah.

"Kokurikulum bukan sekadar aktiviti luar kelas. Ia mengajar saya kematangan, disiplin, kebolehan memimpin dan inilah kualiti penting bagi seorang penghafal al-Quran yang ingin menyumbang kepada masyarakat,” katanya lagi.
Akhir sekali, Wan Wardatul Aini menitipkan pesanan penuh makna kepada generasi muda:
"Jangan pernah tinggalkan al-Quran. Ia bukan sekadar hafalan, tetapi sumber kekuatan kita.
"Letakkan niat yang betul, urus masa dengan bijak dan teruslah berjuang meski dalam kepenatan," ujarnya yang menyimpan hasrat untuk melangkah ke Mesir bagi mendalami bidang Qiraat sekali gus merealisasikan doa dan cita-cita menjadi tenaga pengajar al-Quran serta pendakwah muda.
Sumber: Facebook Darul Quran JAKIM
Ringkasan AI
- Bangun seawal jam 4.30 pagi setiap hari untuk qiyamullail, hafazan dan murajaah sebelum ke kelas akademik dan aktiviti kokurikulum
- Rutin padat sebagai pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Darul Quran JAKIM telah meningkatkan disiplin dan ketahanan fizikal serta emosi Wan Wardatul Aini
- Menerima Anugerah Perdana Menteri kategori wanita dalam Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Kali ke-33 sebagai pengiktirafan kepada disiplin luar biasa
- Mendidik diri dengan hafazan ketat dan disiplin imtihan al-Quran sejak usia 5 tahun di Maahad Tahfiz Qasimul Ulum dan menamatkan hafazan 30 juzuk pada usia 15 tahun
- Berkecimpung dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan kepimpinan, menyerlah dalam debat Bahasa Arab, program kebajikan dan aktiviti kemahiran insaniah