fira2
fira2

POLIMAS harumkan nama negara, menang pingat emas Pertandingan FIRA SimulCup 2021

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Dec 2021 03:41pm
A
A
A

JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul pingat emas di peringkat antarabangsa dalam Pertandingan FIRA SimulCup 2021 yang diadakan di Black Swan, St Luis, Brazil, baru-baru ini.

Pasukan POLIMAS yang memenangi pingat emas dalam kategori 'Autonomous Car' diwakili pelajar dan pensyarah dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Kejuruteraan Elektrik serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Mereka ialah Muhammad Hadif Azri, Muhammad Arif Akmal Saiful Anuar, Jet Saw Jun Jie, Sofian Yusoff dan Ir Ts Siti Nur Thazliah Mohd Thazali.

Pasukan POLIMAS yang diwakili Nik Muhammad Faris Nik Mohd Fadzil, Muhammad Eris Shahzan Asmawi, Shazmi Hafiz Shahidan, Muhammad Khairi Saad dan Isham Sahar Ismail pula berjaya memenangi pingat perak dan gangsa menerusi kategori 'Archery' dan 'Triple Jump'.

Menurut Penyelaras FIRA POLIMAS, Sofwan Ramli, kemenangan ini paling bermakna kerana inilah kali pertama politeknik itu memenangi pingat emas, perak dan gangsa dalam Pertandingan FIRA SimulCup.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud berkata, kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada POLIMAS sekali gus menunjukkan pensyarah dan pelajar politeknik mampu menghasilkan kecemerlangan yang memberi impak besar kepada negara, politeknik serta setanding dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

“Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pensyarah dan pelajar kerana berjaya mencipta nama dan menaikkan imej negara dan politeknik dengan merangkul pingat emas, perak dan gangsa di peringkat antarabangsa dalam Pertandingan FIRA SimulCup 2021," ujarnya.

Pertandingan FIRA SimulCup 2021 dianjurkan secara hibrid oleh FIRA RoboWorld Cup and Summit di Brazil dan merupakan sukan robotik yang dipertandingkan untuk menguji pengetahuan dan kemahiran peserta dalam penghasilan perisian pintar dan pembinaan robot.

Pertandingan kali ini melibatkan lapan buah negara yang terdiri daripada Brazil, Rusia, Korea, Taiwan, China, Filipina, Indonesia dan juga Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok