
Polis turun sekolah, bukan untuk hukum tetapi lindungi pelajar
Derap langkah pelajar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naning, Melaka pada hari pertama sesi persekolahan 2026, bukan sekadar membawa semangat baharu, malah disertai peringatan penting tentang keselamatan diri di jalan raya.
Menyedari risiko yang sering dihadapi pelajar ketika pergi dan pulang dari sekolah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Alor Gajah melaksanakan Op Didik (Keselamatan Jalan Raya) sebagai pendedahan awal kepada warga sekolah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pendekatan pendidikan dan nasihat secara berhemah dipilih bagi membina kesedaran pelajar tanpa elemen menghukum.
“Kami mahu pelajar faham bahawa peraturan jalan raya bukan untuk menyusahkan, sebaliknya melindungi nyawa mereka sendiri dan orang lain,” katanya.
Beliau berkata, kesedaran awal amat penting terutama bagi pelajar yang sudah mula menunggang motosikal ke sekolah, agar mereka lebih bertanggungjawab dan berdisiplin di jalan raya.

Dalam operasi itu, pemeriksaan turut dijalankan terhadap motosikal pelajar dan dua kenderaan didapati melanggar peruntukan undang-undang. Nasihat serta peringatan akhir diberikan supaya pelajar tidak menunggang tanpa lesen sah serta mengelakkan pengubahsuaian kenderaan yang boleh mengundang bahaya.
Op Didik dilaksanakan serentak dengan Program First Day At School Peringkat Daerah Alor Gajah dan Program Sekolah Penyayang, hasil kerjasama PDRM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah.
Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, DSP Azrul Mohamed; Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah, Ab Malek Kasim; barisan kepimpinan IPD Alor Gajah serta warga pendidik SMK Naning.
Bagi guru dan pelajar, kehadiran pihak beruniform pada hari pertama sekolah bukan sahaja memberi rasa selamat, malah menyampaikan mesej jelas bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Mereka berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan demi melahirkan generasi pelajar yang lebih peka, berdisiplin dan selamat di jalan raya.

Ringkasan AI
- Pelajar SMK Naning, Melaka disertai peringatan tentang keselamatan diri di jalan raya pada hari pertama sekolah
- Polis Diraja Malaysia melalui BSPT Alor Gajah melaksanakan Op Didik untuk membina kesedaran keselamatan jalan raya
- Pendidikan dan nasihat tanpa elemen menghukum dipilih sebagai pendekatan
- Kesedaran awal ditekankan terutama bagi pelajar yang menunggang motosikal
- Op Didik dilaksanakan bersama Program First Day At School dan Program Sekolah Penyayang, mendapat sokongan PDRM dan PPD Alor Gajah