Fadhlina
Fadhlina

Ringankan beban guru, KPM tambah baik pengurusan sekolah menerusi MySG

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 Mar 2023 03:30pm
A
A
A

Bagi meringankan beban guru di negara ini, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan pelbagai usaha dan mencari penyelesaian terbaik bagi menjamin kesejahteraan guru.

Terkini, KPM telah menyemak semula tugas dan tanggungjawab guru dengan melaksanakan penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah melalui Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) yang diperkenalkan pada 2021.

Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, MySG menjelaskan dengan lebih terperinci empat komponen pengurusan sekolah iaitu Pengurusan dan Pentadbiran; Kurikulum; Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum.

Selain itu, KPM melalui Jawatankuasa Mengkaji Beban Guru akan terus meneliti inisiatif yang boleh membantu meringankan beban tugas cikgu melalui perbincangan berterusan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Majlis Guru Besar (MGB).

Sambung Fadhlina, berdasarkan tujuh teras utama yang menjadi tumpuan KPM bagi melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera, pihaknya akan terus memastikan guru sentiasa diberi sokongan profesional secara berterusan.

“Bermula sesi persekolahan 2023/2024, kementerian telah melaksanakan pelbagai langkah seperti mengeluarkan pemakluman pemansuhan pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat; pemakluman pelaksanaan Penilaian Kendiri Sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Tahun 2023 dan pemakluman perekodan waktu kehadiran murid dalam Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) sekolah KPM bertarikh 13 Mac lalu.

“Kami juga memaklumkan pelantikan Pengawas Peperiksaan Awam Kendalian Lembaga Peperiksaan terbuka kepada individu; pemberitahuan pelaksanaan sambutan Hari Guru tahunan peringkat kebangsaan dan sekolah; pematuhan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 1999 dan memperkukuh autonomi guru dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan,” ujar Fadhlina pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Negara pada Rabu.

Sebelum itu, Tuan Balasubramaniam Nachiappan mengemukakan pertanyaan kepada KPM supaya menjelaskan usaha-usaha yang dibuat dalam meringankan beban guru sehingga kini berhubung isu kerja perkeranian dan bidang tugas yang tidak sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok