RM3 juta untuk UMS - Anwar Ibrahim
Masalah ketiadaan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjadi bualan ramai hari ini bukan sahaja mendapat perhatian netizen di media sosial tetapi ia turut tular dalam kalangan masyarakat hari ini.
Ada sesetengah pihak mendakwa sebab utama ketiadaan air berlaku kerana sumber bekalan itu tidak mencukupi di Loji Rawatan Air Telibong, Tuaran, Sabah.
Dek ketiadaan air, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang berusaha sebaik mungkin mempercepatkan pembinaan Loji Rawatan Air Telibong Dua agar masalah air tersebut dapat diselesaikan segera.
Terbaharu, kemelut yang dihadapi warga UMS itu akhirnya telah menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyelesaikan masalah ketiadaan air tersebut.
“RM700,000 cukup untuk gerudi air? Jumlah keseluruhan mahu berapa?
“Baiklah, kalau satu gerudi air RM700,000, campur tiga...jadi saya luluskan RM3 juta,” katanya bersungguh-sungguh.
Anwar mengumumkan peruntukan itu ketika menjawab soalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin dalam sesi soal jawab Program Temu Anwar di Dewan Canselor UMS, pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Yusof Apdal; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur.
Program anjuran bersama UMS dan Anwar Ibrahim Club (AIC) itu dihadiri kira-kira 5,000 mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) sekitar Kota Kinabalu, Sabah selain Majlis Belia Sabah (MBS) dan orang awam yang bermula pukul 5 hingga 6.30 petang.
Sementara itu, Anwar berkata, peruntukan RM3 juta tersebut adalah bagi membiayai usaha UMS menangani masalah air di kampus induknya di sini, termasuk menggunakan sumber air bawah tanah, tuaian air hujan dan air bukit.
“Saya lulus RM3 juta untuk (menangani masalah air) di UMS sebab saya tidak mahu anak-anak di kampus ini dalam keadaan sukar, hendak mandi susah dan hendak belajar pun susah.
“Dalam beberapa hari ini kita pastikan wang ini disalurkan. Jangan ganggu mahasiswa dan jangan ganggu staf dengan masalah yang membebankan ini,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu tidak mudah untuk diberikan, namun ia diberikan atas kesedaran beliau memahami kesukaran mahasiswa yang dianggapnya seperti anak sendiri.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk mengatasi masalah sekolah daif serta keperluan pendidikan di negara ini melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan sedang menjalankan usaha ke arah penyelesaian masalah itu.
“Saya tanya Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) beri saya jumlah keperluan (baiki) sekolah daif, tandas rosak, klinik rosak dan ia perlukan RM1.4 billion.
“Pengalaman saya lihat sekolah lapan tandas ada empat rosak, empat tandas tiga rosak jadi adakah kita mahu latih anak kita beratur (masuk tandas) seperti filem Bujang Lapok,” jelasnya.