670439
670439

RM500,000 untuk Yayasan Didik Negara

webadmin
03 Nov 2021 09:50pm
A
A
A

KUALA LUMPUR -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima sumbangan RM500,000 daripada Farm Fresh Milk Sdn Bhd untuk disalurkan kepada Yayasan Didik Negara.

Ismail Sabri menerima sumbangan itu daripada Pengarah Operasi Farm Fresh Milk Azmi Zainal di pejabatnya di bangunan Parlimen, di sini.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Baca juga: IPT Malaysia mampu eksport produk pendidikan ke luar negara

Baca juga: Gerbang Pembelajaran Digital SK Taman Kepong kini jadi rujukan ramai. Tahniah buat warga sekolah!

Radzi pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan itu berkata Yayasan Didik Negara yang ditubuhkan pada Julai lepas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPM itu bertujuan untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara menerusi penglibatan kerajaan dan semua pihak khususnya sektor swasta."

Sekarang kami masih di peringkat awal pengumpulan dana daripada pelbagai pihak. Hari ini (kami terima sumbangan) daripada pihak Farm Fresh, insya-Allah dalam masa akan datang lebih banyak penerimaan dana daripada pelbagai pihak dan sampai masa kami akan lancarkan yayasan ini secara rasmi," katanya.

Beliau berkata buat masa ini, kementerian itu sedang mengadakan libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sektor korporat bagi pengumpulan dana yayasan berkenaan.

Ikuti kami di Twitter dan Instagram

Radzi berkata penyusunan mengenai program-program Yayasan Didik Negara termasuk perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang juga sedang dibuat yang akan memfokuskan kepada agenda pendidikan untuk memberi manfaat kepada lebih lima juta murid serta lebih 10,000 sekolah di seluruh negara."

Kami akan adakan pelbagai program di bawah yayasan. Kami kumpulkan pelbagai sumbangan daripada pelbagai pihak dan ada program tertentu di bawah yayasan yang sedang kami susun dan berdasarkan keperluan kami akan lihat bilakah, di manakah dan berapa banyak dana-dana ini akan digunakan untuk tujuan tertentu.

Baca juga: Yayasan Didik Negara ditubuh, galak penglibatan masyarakat bantu pendidikan

Baca juga: Sengaja ponteng PdPR, ia satu amalan tidak sihat

"Jadi ia berupa program. Pelbagai program sedang kami aturkan. Insya-Allah sampai masa kami akan jelaskan tentang program-program ini supaya masyarakat pelbagai pihak dapat turut sama menyumbang kepada Yayasan Didik Negara," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Yayasan Didik Negara terutamanya dalam pengumpulan dana dan pihaknya bercadang untuk mengumpul dana khusus untuk anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.

"Insya-Allah mungkin melalui program Gegar Vaganza. Saya yakin kami boleh kumpul dana yang banyak supaya anak-anak ini nanti boleh dapat biasiswa pendidikan. Ini satu inisiatif yang kami buat supaya dapat dicontohi syarikat lain. Inilah masanya syarikat korporat membantu," katanya. -- BERNAMA


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok