HomeBuletinSaiful Apek kongsi pengalaman hidup bersama 200 pelajar SMK Mambau

Saiful Apek kongsi pengalaman hidup bersama 200 pelajar SMK Mambau

Sambutan kemerdekaan Malaysia ke-65 kali ini cukup memberi makna kepada 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau, Seremban, Negeri Sembilan.

Ini kerana, Yayasan EZ Prihatin bersama dutanya, pelawak dan pelakon terkenal, Saiful Apek telah turun padang ke sekolah berkenaan bagi menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan.

Menurut Saiful Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, kehadirannya ke sekolah itu adalah selaras dengan tuntutan tugasnya membantu yayasan melaksanakan program kebajikan bersama masyarakat.

Ujarnya, program berkenaan juga adalah untuk mendekati pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga B40 tanpa mengira kaum dan agama.

“Kehadiran saya bersama Yayasan EZ Prihatin adalah untuk menyantuni saudara kita yang sangat memerlukan, dan ini adalah pengalaman baru bagi saya.

“Saya juga mengambil peluang berkongsi kisah pengalaman hidup bersama pelajar-pelajar di sini dalam suasana ceria dan santai,” ujarnya ketika Program Sentuhan Kasih anjuran bersama Yayasan EZ Prihatin, EZ Qurban dan SMK Mambau, di sekolah itu, baru-baru ini.

Program itu adalah inisaitif di bawah projek Kita Kongsi Yayasan EZ Prihatin untuk membantu pelajar asnaf dan B40 mendapat kelengkapan persekolahan.

Pada majlis itu juga, sebanyak 200 set pakaian sekolah, pakaian sukan, beg sekolah dan 300 unit kalkulator sainstifik telah diagihkan membabitkan peruntukan sebanyak RM47,500.

Bagi menyemarakkan lagi majlis berkenaan, pelbagai aktiviti dilakukan antaranya kuiz kemerdekaan dan penyerahan Jalur Gemilang kepada pihak sekolah oleh Yayasan EZ Prihatin.

Mengulas lanjut pembabitannya dalam aktiviti kemasyarakatan itu, Saiful Apek berkata, dia gembira dapat turut serta membantu golongan memerlukan.

Malah, katanya, dia akan sentiasa membawa mesej mengajak masyarakat supaya prihatin dengan persekitaran.

“As we see more human, but we see less humanity, itu mesej yang selalu saya tekankan dalam ucapan saya agar pelajar-pelajar sentiasa mempunyai sikap ambil berat kepada orang di sekeliling mereka.

“Nak buat baik ini tak susah, mulakanlah dengan orang yang paling hampir dengan kita,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengasas Yayasan EZ Prihatin, Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, dengan adanya program seumpama itu ia secara tidak langsung dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

“Saya percaya sekiranya masyarakat bekerjasama dan ambil peduli untuk membantu anak-anak ini, Insya-ALLAH kita mampu untuk memutuskan rentetan masalah sosial yang berlaku”

“Akhirnya wujud komuniti yang peka dan prihatin dengan masalah yang berlaku di sekeliling mereka,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Agih 1,000 kelengkapan sekolah, keluarga B40 Kuala Lumpur dapat bantuan

Mahasiswa stres kos sara hidup tinggi, kurang akses fasiliti awam, bantuan ‘cukup makan’

Agih 1,000 kelengkapan sekolah, keluarga B40 Kuala Lumpur dapat bantuan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok