Frank berjaya dapat tawaran pengajian di UPSI
Frank berjaya dapat tawaran pengajian di UPSI

Sanggup daki bukit selama 2 jam untuk hadiri temu duga, pengorbanan pemuda ini akhirnya berbaloi

Adlan Farhan Azwan
04 Mar 2022 04:36pm
A
A
A

Kisah seorang pemuda, Frank Steward Panting Sa, 21, yang sanggup mendaki bukit di dalam hutan selama lebih dua jam bagi menjalani temu duga kemasukan universiti secara dalam talian telah membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapatkan tawaran pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, mengesahkan bahawa Frank kini secara rasmi merupakan pelajar universiti tersebut.

Amin juga berkata bahawa, tawaran itu memberi peluang untuk Frank menjadi seorang pendidik yang akan kembali berkhidmat di negeri kelahiran, sekali gus dapat membantu mengubah nasib dan masa depan keluarga.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Frank yang memilih UPSI sebagai destinasi pengajian peringkat ijazah pertamanya dan berharap dapat belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Frank ialah anak kepada seorang petani dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine di Betong, Sarawak.

Terdahulu, kisah Frank menghadiri temuduga dalam talian itu tular di media sosial baru-baru ini selepas ayahnya berusaha mendirikan khemah di kawasan Bukit Kelingkang yang didaki mereka selama dua jam demi memastikan anaknya itu mendapat capaian internet ketika menghadiri temu duga secara dalam talian.

Kegigihan petani itu dikongsi seorang lagi anaknya, Mario, yang juga abang kepada Frank Steward, menerusi media sosial hingga menarik perhatian ramai pengguna laman itu.

Menurut Frank, dia berasa amat gembira dan terharu setelah menerima berita baik itu dan bakal menyambung pengajian di UPSI dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) bagi sesi 2022/2023 yang bakal bermula bulan ini.

“Saya berharap dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan menjadi pendidik yang berjasa kepada negara suatu hari nanti.

“Peluang melanjutkan pelajaran ini bukan sahaja untuk saya, malah keluarga terutama ayah yang banyak berkorban bagi memastikan saya dan adik-beradik lain menerima pendidikan terbaik, walaupun kami tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Artikel berkaitan

Proses pendaftaran pelajar baharu UPSI lancar, semua gembira

UPSI, UUM tubuh kelab badminton

Keluarga terharu terima diploma arwah anak


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok