Dr Murugan Rajoo
Dr Murugan Rajoo

Pensyarah, pelajar UPSI hasilkan produk inovasi untuk subjek Matematik Tingkatan Tiga

Rasyidah Zulkifi
01 Jun 2022 06:47pm
A
A
A

Matematik merupakan subjek yang sinonim dengan landskap pendidikan negara mahupun seluruh dunia kerana mampu mengasah minda pelajar untuk berfikiran dengan lebih kreatif dan kritis.

Bagaimanapun, subjek ini paling digeruni oleh para pelajar disebabkan ia mempunyai banyak formula, konsep dan kaedah yang perlu difahami di pelbagai peringkat sekolah seawal usia lima tahun.

Bagi menyelesaikan isu ini, sekumpulan penyelidik dari Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menghasilkan inovasi alat bantuan mengajar (ABM) untuk diaplikasi dalam subjek Matematik Tingkatan Tiga bawah tajuk Pelan dan Dongakan.

Dr Shazlyn Milleana Shaharudin

Mereka terdiri daripada dua orang pensyarah iaitu Dr Shazlyn Milleana Shaharudin dan Dr Murugan Rajoo serta seorang mahasiswa jurusan Pendidikan Matematik, Nur Sabrina Suhaimi.

Dr Murugan Rajoo

ABM ini dihasilkan kerana Pelan dan Dongakan merupakan salah satu tajuk yang dianggap sukar untuk difahami apabila menggunakan teknik konvensional kerana ia melibatkan tahap penggunaan visualisasi yang tinggi dalam membayangkan sesuatu objek tersembunyi.

 

Nur Sabrina Suhaimi

Kenyataan ini turut disokong oleh laporan Trends in International Mathematics and Science Study Kementerian Pendidikan, (TIMSS KPM, 2017) di mana para pelajar menghadapi kesukaran menguasai bidang geometri yang juga ada dalam topik tersebut.

 

Produk inovasi tersebut diberi nama sebagai ‘Kit Mabox’ di mana ‘Ma’ merupakan singkatan bagi ‘Magic’ manakala ‘Box’ adalah merujuk kepada bentuk kit ini yang menyerupai separuh kotak.

Kit Ma Box yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik UPSI.

Ia diadaptasi daripada sebuah kotak yang boleh menjadi dua jenis lukisan Pelan dan Dongakan tanpa memerlukan pelajar melakukan sebarang teknik penghafalan.

Kit ini menekankan teori konstruktivisme yang mampu menarik minat serta meningkatkan tahap visualisasi pelajar di dalam subjek Matematik terutama bagi topik yang melibatkan daya imaginasi yang tinggi. 

Keistimewaan ABM ini adalah ia mudah dibawa ke mana sahaja kerana saiz kotaknya yang kecil serta ringan dan penggunaannya berbentuk seperti permainan. 

Keberkesanan kit ini telah diuji oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Tiga daripada beberapa buah sekolah di Malaysia. 

Hasil kajian yang dilakukan, penggunaan Kit MaBox dilihat dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar dalam menjawab soalan Matematik berkaitan topik Pelan dan Dongakan. 

Penghasilan produk sebegini diharap dapat menjadi satu titik permulaan perubahan corak pengajaran di Malaysia khususnya dalam subjek Matematik memandangkan ia juga telah memasuki beberapa pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Kesimpulannya, dengan penciptaan ABM sebegini diharap dapat memudahkan tugas guru Matematik di Malaysia dalam mempelbagaikan teknik pengajaran dan penyampaian kepada para pelajar mereka.

Artikel berkaitan

Hasilkan produk inovasi, sekolah terap elemen STEM dalam kalangan pelajar 

Penyelidik cipta dron pelbagai fungsi, inovasi tingkat produktiviti pertanian 

Pensyarah hasilkan inovasi aiskrim misai kucing rendah kalori 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok