NKF - SMIS Donation - RM16K Donation
NKF - SMIS Donation - RM16K Donation

Sekolah Antarabangsa Stella Maris sumbang RM16,000 kepada NKF Malaysia

Mohd Khairi Mohamad Yusri
19 Nov 2021 10:14am
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekolah Antarabangsa Stella Maris (SMIS), Bukit Damansara menyerahkan sumbangan sebanyak RM16,000 kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF Malaysia), di sini, baru-baru ini.

Presiden SMIS, Profesor Dr BC Tan, berkata sumbangan itu adalah satu cara untuk sekolah berkenaan menunjukkan bahawa mereka sentiasa mengambil berat dan bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan.

BACA JUGA: Hadapi masalah kewangan, 2 pelajar terima sumbangan UMK

BACA JUGA: Tiada sumbangan, enam pusat tahfiz di Pasir Puteh berdepan risiko ditutup

Menurut beliau, acara amal tahunan bagi membantu NKF Malaysia itu juga amat bermakna kepada SMIS kerana ia merupakan satu cara untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit buah pinggang dalam kalangan komuniti.

"Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penderma atas sumbangan yang diberikan malah sangat gembira melihat kemurahan hati warga sekolah pada tahun ini walaupun terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda kita ketika ini.

“Saya juga menggesa lebih ramai orang di luar sana untuk sama-sama menderma kepada organisasi seperti NKF Malaysia supaya mereka dapat terus menyelamatkan nyawa tanpa sebarang kebimbangan kewangan,” katanya dalam majlis penyerahan cek yang diadakan secara maya.

IKUTI GPSBestari di twitter dan instagram

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NKF Malaysia, Chua Hong Wee, berkata sumbangan dana tersebut tepat pada masanya untuk membantu menyediakan pesakit mereka yang memerlukan lebih penjagaan dan sokongan.

“Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada SMIS dan semua penderma yang bermurah hati pada tahun ini. Ia benar-benar bermakna kepada kami dan kerana jiwa baik seperti kalian, kami di NKF Malaysia dapat terus melakukan apa yang kami lakukan,” katanya.

Chua turut menjelaskan bagaimana wabak Covid-19 telah menjejaskan NKF Malaysia kerana banyak penderma telah menarik balik derma masing-masing kerana melalui masa yang sukar.

“Ia sangat sukar untuk memastikan operasi kami terus berjalan terutamanya ketika pandemik ini kerana lebih ramai penderma terutamanya mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah terjejas kerana virus ini.

“Saya berharap lebih ramai orang akan menghulurkan bantuan kepada kami seperti yang dilakukan oleh SMIS setiap tahun,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok