No Image Caption

Sekolah baharu, harapan baharu: Kisah di sebalik pendidikan lebih manusiawi

15 Jan 2026 02:40pm

Setiap pagi, ada murid yang terpaksa berkongsi ruang sempit, duduk berhimpit dan belajar dalam suasana panas serta bising. Bagi mereka, sekolah bukan lagi tempat paling selesa untuk memberi tumpuan, apatah lagi untuk membina keyakinan diri.

Hakikat itu bukan cerita terpencil. Ia realiti yang dihadapi banyak sekolah di kawasan berpenduduk padat termasuk di sekitar Putrajaya.

Menyedari keperluan mendesak itu, penyerahan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3) pagi ini menjadi lebih daripada sekadar simbol projek siap. Ia membawa harapan baharu kepada murid, guru dan ibu bapa yang selama ini mendambakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kesesakan sekolah bukan sahaja menjejaskan fokus murid, malah memberi kesan langsung kepada keselesaan guru dalam melaksanakan tugas mendidik.

“Bila sekolah terlalu padat, murid susah fokus. Apabila bilik darjah sempit dan panas, keselesaan guru dalam mendidik terjejas. Dan bila persekitaran tidak kondusif, potensi anak-anak terhad tanpa kita sedar,” katanya.

Sekolah baharu ini dilengkapi 36 bilik darjah, prasekolah, kemudahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dewan, kantin, padang serta ruang sokongan lain yang dirancang khusus untuk mewujudkan suasana pembelajaran selamat, selesa dan menggembirakan.

Alexander (kiri) bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kanan) selepas mengadakan lawatan ke SK Putrajaya Presint 8(3) pada Khamis.
Alexander (kiri) bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kanan) selepas mengadakan lawatan ke SK Putrajaya Presint 8(3) pada Khamis.

Bagi guru, ruang yang lebih luas dan teratur memberi peluang untuk mendidik dengan lebih kreatif. Bagi murid pula, sekolah bukan lagi tempat yang menekan, sebaliknya menjadi ruang untuk berkembang dari segi akademik, sahsiah dan emosi.

Artikel Berkaitan:

Lebih penting, kemudahan PPKI yang disediakan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan inklusif, agar setiap murid tanpa mengira keupayaan mendapat peluang sama untuk belajar dan berkembang.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2025, sebanyak 177 projek pendidikan telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia terus komited menyediakan infrastruktur pendidikan berkualiti, berimpak tinggi dan mampan demi kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks lebih besar, pembangunan sekolah seperti ini bukan sekadar soal bangunan baharu. Ia adalah pelaburan jangka panjang terhadap masa depan negara.

Seperti ditegaskan Alexander, inilah cara Malaysia Madani diterjemahkan bekerja secara nyata, menyentuh kehidupan rakyat dan meninggalkan kesan yang berpanjangan.

Bagi murid-murid SK Putrajaya Presint 8(3), sebuah sekolah baharu kini menjadi tempat bermulanya impian yang lebih luas dan masa depan yang lebih cerah.

Ringkasan AI

  • Murid berkongsi ruang sempit dan belajar dalam suasana panas serta bising
  • Realiti di banyak sekolah di kawasan berpenduduk padat termasuk Putrajaya
  • Sekolah baru SK Putrajaya Presint 8(3) membawa harapan untuk persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif
  • Dilengkapi dengan kemudahan lengkap dan ruang yang luas untuk pendidikan lebih kreatif dan inklusif
  • Merupakan pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara dan memastikan pendidikan berkualiti bagi semua murid
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp