Fairuz
Fairuz

Sekolah digesa jangan lindungi pembuli - Fairuz

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
18 Jul 2025 06:08pm

Pihak sekolah digesa untuk mengambil tindakan tegas dan tidak melindungi pembuli di sekolah susulan dakwaan kematian seorang pelajar yang terjatuh dari bangunan dipercayai akibat kes buli.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan berkata, jika ada pelajar yang dibuli, bermakna ada pembuli di sekolah dan tindakan tegas perlu diambil.

"Perkara ini perlu diberi pengajaran keras dan pihak yang bertanggungjawab diminta segera menyelesaikannya. Tidak wajar jika pembuli yang tidak bermoral terus dilindungi identiti, hanya kerana dia juga seorang pelajar. 

"Jika hari ini dia buli rakan sekolah, esok bila dewasa dan keluar dari alam persekolahan, apa dia mahu jadi? Siapa dia mau buli? Ini la bibit-bibit sifat penjenayah yang kelak boleh merosakkan keharmonian dalam institusi masyarakat kita," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Fairuz, kejadian buli yang sering berulang tanpa episod penamat adalah umpama duri dalam daging yang perlu dihentikan demi kesejahteraan dan keselamatan pelajar di sekolah.

"Kita hantar anak-anak ke sekolah untuk belajar, mencari ilmu, bergaul berkawan sesama mereka dan berusaha keras mengejar cita-cita menjadi anak bangsa berguna.

"Apa guna jika wujud segelintir virus perosak seperti golongan pembuli ini dan pihak bertanggungjawab dan sekolah mendiamkan diri, melindungi mereka dan sampai bila perlu mangsa dan keluarga mangsa perlu bersedih kerana keadaan yang sangat tidak adil ini?

"Tolong, saya merayu, saya menyeru semua yang bertanggungjawab, semua yang memegang kuasa untuk mengatasi dan menguruskan masalah buli, bantu kita didik anak-anak dan beri hukuman setimpal kerana kita perlu kekang budaya samseng dan buli di sekolah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular di media sosial kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkat tiga sekolah itu, pada Rabu lalu.

Mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia pada malam Khamis.

Kejadian yang berlaku itu turut dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah tersebut.

Fairuz dalam pada itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

"Saya seorang bapa dan bila ada kejadian seumpama ini, saya sedih, saya bayangkan anak-anak saya di sekolah.

"Kadang-kadang saya sendiri rasa lemah bila ada kejadian seumpama ini berlaku, anak kita yang kita tatang bagai minyak penuh, meninggal dunia kerana kejadian yang tidak pernah kita bayangkan akan berlaku pada mereka.

"Semoga keadilan dapat ditegakkan, jangan lindungi pembuli, jangan terus biarkan budaya buli wujud dalam komuniti anak-anak kita di sekolah, hentikan semua ini, ambil tindakan wajar secara tuntas," tegasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp