Fadhlina ketika melawat ahli keluarga pelajar terbabit di hospital di Kota Kinabalu.
Fadhlina ketika melawat ahli keluarga pelajar terbabit di hospital di Kota Kinabalu.

KPM beri kerjasama penuh kes pelajar terjatuh bangunan

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
18 Jul 2025 12:00am

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung insiden kematian seorang pelajar yang dilaporkan terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di sini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, siasatan masih dijalankan oleh pihak polis dan orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Pada waktu ini, kejadian sedang berada dalam siasatan pihak polis. KPM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Oleh itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh mengganggu siasatan.

“Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau memaklumkan telah menziarahi keluarga mangsa di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan mereka terpelihara.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian anakanda Zara Qairina. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini.

“Saya dan Pengurusan Tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarga di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan mereka terpelihara.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga, termasuk dalam aspek sokongan psikososial,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang pelajar Tingkatan Satu dari sebuah sekolah agama di Papar yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah tersebut, dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Rabu lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini.

Dalam hantaran tular tersebut, insiden itu turut dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang berlaku di sekolah berkenaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp