Sekolah Henry Gurney keluarkan saya dari dunia gelap - Abby
‘Kita tidak boleh mengubah masa lalu tetapi yang penting adalah bagaimana kita memilih hidup di masa kini dan masa depan’.
Itulah bait-bait kata yang dapat disimpulkan menerusi kisah Abby (bukan nama sebenar) yang kini berjaya menerima sijil anugerah pada Majlis Apresiasi Pelajar 2023/2024 di Dewan Merak Kayangan Kompleks Penjara Kota Kinabalu, Sabah.
Disorot kembali kisah gelap Abby pada suatu ketika dahulu, dia pernah terjebak dalam dunia pelacuran sebelum aktif dalam perdagangan melibatkan aktiviti persundalan seawal usianya 14 tahun.
Menjalankan kerja sebagai orang tengah atau ‘transporter’, Abby mengakui rata-rata mereka yang terjebak dalam aktiviti tidak bermoral ini adalah pelajar berusia sekitar 13 hingga 17 tahun.
“Mereka yang datang kepada kami tiada paksaan untuk melakukan kerja memberi perkhidmatan seks kepada pelanggan.
“Bayaran pula mengikut harga yang ditawarkan dan pelanggan pun ada dalam kalangan kakitangan awam, golongan berpangkat bergelar datuk serta dari luar negara,” dedahnya.
Namun kini, dia sudah berusia 20 tahun dan kembali ke pangkal jalan selepas ditempatkan di Sekolah Henry Gurney setelah ditahan pada tahun 2021.
Menurutnya, banyak perkara yang dipelajarinya selama tiga tahun ditempatkan di sekolah itu bukan sahaja berkaitan dengan pemulihan akhlak tetapi pendidikan kerana diberi peluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
“Jika diimbas kembali, saya sememangnya menyesal kerana terjerat dengan kegiatan tidak bermoral seawal usia belasan tahun.
“Semuanya hanya kerana mahu ‘enjoy’ semata-mata dan terikut dengan rakan sebaya apabila melihat mereka ada wang sendiri serta hidup mewah.
“Tetapi selepas berada di sini, kehidupan lalu tidaknya seindah disangka dan saya tekad untuk berubah. Di sini, banyak perkara yang lebih baik untuk dipelajari dan saya tidak menyangka mendapat keputusan yang baik dalam SPM,” katanya.
Mengimbas semula bagaimana dia tertangkap, kongsi Abby, kegiatannya itu terbongkar apabila keluarga salah seorang rakannya membuat laporan polis.
Akhirnya, kegiatan salah itu berjaya dikesan pihak polis dan dia tertangkap selain turut didakwa di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan.
Meskipun begitu, segala kejadian lalu telah memberi kesedaran buat Abby untuk mengubah diri serta masa depannya ke arah lebih baik.
“Dengan keputusan SPM yang baik ini saya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih baik.
“Dalam masa yang sama menyebarkan perkara-perkara yang bermanfaat terutamanya melibatkan gejala sosial yang berleluasa sejak akhir-akhir ini,” katanya.