Seluruh ahli pengakap bakal menggunakan seragam baharu pada Januari 2024. Kredit foto: Facebook Persekutuan Pengakap Malaysia
Seluruh ahli pengakap bakal menggunakan seragam baharu pada Januari 2024. Kredit foto: Facebook Persekutuan Pengakap Malaysia

Selepas 115 tahun penubuhan, akhirnya Pengakap Malaysia perkenal seragam baharu tahun depan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Oct 2023 02:51pm

Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang sudah ditubuhkan selama 115 tahun akan memperkenalkan pakaian seragam baharu buat pertama kalinya untuk digunakan 600,000 ahli mulai tahun depan.

Menurut Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Zamani Tambichek, pakaian seragam itu lebih menarik dan efektif dengan reka bentuk baharu termasuk warnanya.

“Keputusan menukar pakaian seragam mengambil tempoh selama setahun sembilan bulan sebelum diluluskan di peringkat tertinggi persatuan.

“Ia bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Disember depan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Jota-joti Kebangsaan 2023 di Kem Pengakap Datuk Tambichik Karim, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka pada Ahad.

Kredit foto: Facebook Persekutuan Pengakap Malaysia
Kredit foto: Facebook Persekutuan Pengakap Malaysia

Zamani berkata, idea memperkenalkan pakaian seragam baharu bermula apabila melihat pasukan beruniform seperti tentera, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sudah bertukar pakaian seragam sebanyak tiga kali.

“Usia penubuhan kita sudah mencecah 115 tahun, namun sekalipun kita tidak pernah tukar uniform.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, atas persetujuan semua pihak buat pertama kalinya, seluruh ahli pengakap bakal menggunakan seragam baharu Januari 2024,” katanya dengan menjelaskan satu masa lalu ahli pengakap memakai baju sedia ada dan hanya menukar dari seluar pendek kepada seluar panjang, kemudian selepas itu tiada uniform baharu diperkenalkan.

Mengulas lanjut, Zamani memberitahu, skaf yang digunakan ketika ini juga akan ditukar warna kerana ia serupa dengan yang dipakai pengakap di United Kingdom (UK).

Menurutnya lagi, PPM akan memberi kelonggaran selama setahun kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu.

Dalam perkembangan lain, Zamani berkata, Majlis Jota-joti Kebangsaan yang diadakan setiap tahun akan diteruskan seperti biasa kerana ia menjadi platform kepada ahli untuk membentuk sahsiah dan jati diri.

“Itu adalah selaras dengan visi PPM untuk menjadi pertubuhan pendidikan golongan muda terunggul, moden, berdikari yang akan melatih golongan muda negara menjadi warganegara aktif,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp