shatar
shatar

Semak akreditasi program di MQR sebelum ikuti pengajian - MQA

Nor Azma  Muhamat Laila
19 Jan 2022 03:43pm
A
A
A

CYBERJAYA - Pelajar atau sesiapa sahaja yang berminat melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diminta menyemak terlebih dahulu status akreditasi program yang bakal diikuti menerusi Daftar Kelayakan Malaysia (MQR).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pemastian terbabit penting bagi mengelakkan golongan itu membazir masa, tenaga dan wang mengikuti pengajian yang tidak diiktiraf.

Katanya, apabila pelajar menerima sijil selepas tamat pengajian, pasti mereka mengharapkan kelayakan akademik berkenaan mampu membantu mendapatkan pekerjaan selepas bergraduasi.

“Bagaimanapun, seelok-eloknya sebelum mengikuti pengajian, mereka perlu pastikan terlebih dulu program yang bakal diikuti mendapat akreditasi daripada MQA dengan menyemak menerusi portal MQR.

“Program yang sudah mendapat akreditasi pun boleh disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan status terkini,” katanya ketika mengulas isu pelajar yang ghairah mahu menyambung pengajian di IPT tanpa menyemak akreditasi terlebih dulu kerana perkara itu bakal memberi kesan apabila mereka ingin menyambung pengajian serta memohon kerja terutama di sektor awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, cara memastikan akreditasi sesebuah program cukup mudah menerusi laman sesawang rasmi MQA iaitu www.mqa.gov.my, pelajar atau ibu bapa boleh terus semak di portal MQR atau melalui aplikasi MyMQR.

Dalam senarai rujukan itu juga, katanya, terdapat semua program akademik yang ditawarkan IPT di Malaysia sekiranya sudah mendapat akreditasi daripada MQA.

Beliau berkata, apabila sesuatu program disenaraikan dalam MQR, pelajar tidak perlu risau untuk menggunakan sijil kelayakan akademik yang bakal diperoleh di peringkat sijil hinggalah ke kedoktoran bagi tujuan mencari pekerjaan atau membina kerjaya.

“Hal ini kerana akreditasi MQA bukan sahaja penting di dalam negara tetapi juga memudahkan kelayakan akademik diiktiraf di luar negara kerana kita mempunyai jalinan dengan agensi akreditasi antarabangsa.

“Jadi, apabila sesuatu program tidak diiktiraf, ia akan menyukarkan pelajar untuk menggunakan kelayakan berkenaan di dalam mahu pun luar negara,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok