SMKA Maahad Muar turut menawarkan Tingkatan Enam Tahfiz kepada pelajar lepasan SPM 2023. Kredit: Facebook SMKA Maahad Muar
SMKA Maahad Muar turut menawarkan Tingkatan Enam Tahfiz kepada pelajar lepasan SPM 2023. Kredit: Facebook SMKA Maahad Muar

Sembilan SMKA tawar Tingkatan Enam Tahfiz

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
24 May 2024 05:12pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memohon Tingkatan Enam Tahfiz ambilan Julai 2024.

Permohonan itu akan dibuka secara dalam talian mulai 27 Mei hingga 2 Jun menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my

Sebanyak sembilan Pusat Tingkatan Enam menawarkan Tingkatan Enam Tahfiz iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya (SMAPUTRA) Wilayah Persekutuan Putrajaya; SMKA Kedah, Alor Setar, Kedah; SMKA Kerian, Perak; SMKA Maahad Muar, Muar, Johor dan SMKA Tok Bachok, Kelantan.

Selain itu, SMKA Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Negeri Sembilan; SMKA Kota Kinabalu, Sabah; SMKA Sheikh Hj Othman Abd Wahab, Sarawak dan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu Kemaman, Terengganu turut menyediakan Tingkatan Enam Tahfiz.

Untuk maklumat anda, pelaksanaan Tingkatan Enam Tahfiz mengabungkan antara hafazan al-Quran, bahan ilmiah secara tutorial dan amali qiraat dalam tempoh masa tiga semester.

Pengajian tahfiz ini bertujuan melahirkan pelajar yang mantap hafazan, mahir dalam ilmu berkaitan al-Quran dan cemerlang akhlak.

Kandungan mata pelajaran tahfiz al-Quran yang diperkenalkan di Tingkatan Enam Tahfiz adalah untuk memantapkan hafazan 30 juzuk al-Quran, Maharat Ulum al-Quran, asas Maharat Qiraat Ilmi dan amali bacaan Imam Qiraat ‘Asyarah serta mengaplikasi Maharat al-Rasm, Dhabt al-Quran dan Fawasil.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok