photo6091284123298672310
photo6091284123298672310

Cikgu Azmi tidak betah duduk diam, sanggup lukis mural di dinding STEMZA hingga cecah puluhan karya

Roshlawaty Md Raieh
30 Nov 2021 05:50pm
A
A
A

Guru ini tidak pernah ‘duduk diam’. Pantang ada dinding kosong di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan Zainal Abidin (STEMZA), Kuala Nerus, Terengganu, beliau pasti akan melukis mural pada dinding tersebut.

Ketika ditemubual Sinar Bestari, guru yang bernama Cikgu Azmi Ramli, 55, berkata, minat yang mendalam terhadap dunia lukisan membuatkan dirinya sentiasa melukis jika ada masa terluang sama ada ketika di sekolah atau di rumah.

“Setakat ini, lebih 50 mural yang bertemakan laut, perkampungan, flora dan fauna serta sebagainya telah dihasilkan untuk sekolah ini.

“Saya juga pernah melukis mural Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dan juga beberapa tokoh tempatan yang lain,” ujarnya.

Menurut Cikgu Azmi, subjek Pendidikan Seni Visual (PSV) bukanlah bidang pengkhususannya sebagai seorang guru.

“Pilihan saya adalah mata pelajaran Geografi. Tetapi, dek kerana minat dengan PSV, saya cabar diri mengajar subjek tersebut.

“Dan alhamdulillah, hampir 15 tahun juga saya mengajar PSV untuk pelajar Tingkatan Lima dan ramai antara pelajar ini, berjaya dalam kehidupan masing-masing,” ujarnya.

Cikgu Azmi telah mula berkhidmat sebagai pendidik pada 1 Julai 1990 di SMK Serian, Sarawak.

Beliau kemudiannya berpindah ke SMK Kompleks Mengabang Telipot Kuala Nerus dan kini di STEMZA.

Sudah 31 tahun Cikgu Azmi bergelar seorang guru. Dalam tempoh itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai guru disiplin selama 18 tahun.

STEMZA beruntung kerana mempunyai seorang pendidik yang sangat berbakat dan sentiasa memberi komitmen tinggi untuk menceriakan persekitaran sekolah.

Untuk Cikgu Azmi, teruskanlah berkarya dan hasilkan mural yang cantik, menarik dan kreatif untuk STEMZA. Semoga terus maju jaya, cikgu!

Artikel berkaitan 

Airiel Haziq mahu jadi arkitek, hasilkan lukisan seni bina kerana minat

“Pertama kali lihat lukisan Ilham, saya sangat terkejut. Tak sangka dia dapat hasilkan karya sebegini”

Karya asli 3 pelajar Sabah diterbitkan di majalah sastera terkemuka United Kingdom. Kagum!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok