SGM 2.0: Dokumen kompetensi rujukan pendidik
Profesion perguruan merupakan satu kerjaya yang mulia serta dipandang tinggi oleh agama dan masyarakat.
Ini kerana kerjaya guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat menjadi bijak, hebat, berilmu dan sebagainya.
Bagaimanapun, melahirkan guru berkualiti tinggi bukan perkara mudah. Perlu ada panduan atau dokumen rujukan dalam mencapai impian tersebut.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) 2.0 dalam satu majlis di Putrajaya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha KPM, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dan pengurusan tertinggi KPM.
Berdasarkan info yang dipetik menerusi portal KPM, SGM 2.0 bermaksud dokumen rujukan berkaitan kompetensi yang perlu dicapai dan etika yang perlu dijiwai, diamalkan serta diperlihatkan oleh guru di negara ini.
Ia dibangunkan Bahagian Profesionalisme Guru sebagai panduan tahap kecekapan yang relevan dengan keperluan semasa pendidikan negara.
Pelaksanaan SGM 2.0 adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) di bawah Anjakan Keempat Mentransformasi Profesion Keguruan Menjadi Profesion Pilihan.
SGM 2.0 terdiri daripada dua komponen iaitu Dimensi Kompetensi dan Etika Keguruan.
Dimensi Kompetensi menjelaskan kompetensi yang perlu dimiliki oleh guru pada pelbagai tahap pembangunan profesionalisme untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan berkesan.
Etika Keguruan pula merupakan prinsip moral dan nilai akhlak yang seharusnya menjadi pegangan dan amalan guru di negara ini bagi memastikan profesion keguruan sebagai kerjaya profesional serta dipandang mulia oleh masyarakat.
Terdapat empat Dimensi Kompetensi dalam SGM 2.0 iaitu Orientasi Ilmu, Kualiti Peribadi, Instruksional dan Pelibatan Komuniti.
Manakala Etika Keguruan pula merangkumi empat teras iaitu Tanggungjawab Terhadap Profesion, Tanggungjawab Terhadap Murid, Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara serta Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa/Penjaga.
KPM turut menyenaraikan enam pengguna SGM 2.0 yang perlu diberi perhatian yang terdiri daripada Guru Pelatih; Guru; Pengetua dan Guru Besar; Pembuat Dasar Pendidikan; Agensi Latihan Keguruan Awam dan Swasta serta Pembekal Latihan Dalam Perkhidmatan.
Dengan adanya SGM 2.0, Sinar Bestari yakin negara mampu melahirkan lebih ramai pendidik yang pakar dan berkemahiran dalam bidang masing-masing serta berupaya melahirkan ribuan tokoh hebat. Insya-ALLAH.