WhatsApp Image 2022-10-17 at 10.50.50 AM
WhatsApp Image 2022-10-17 at 10.50.50 AM

SIAP bantu perkasa pendidikan generasi baharu Felda

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
17 Oct 2022 10:51am

Peranan yang dimainkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerusi peruntukan Skim Insentif Anak Peneroka (SIAP) disambut baik dalam membantu generasi baharu Felda meneruskan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

SIAP adalah bantuan one-off (sekali beri) kepada anak atau cucu peneroka yang berjaya memasuki IPT awam atau swasta bagi peringkat diploma dan ijazah di dalam atau luar negara.

Melalui bantuan ini, generasi baharu Felda yang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma menerima sebanyak RM500, manakala peringkat ijazah dalam negara sebanyak RM1,000 dan RM1,500 bagi ijazah luar negara.

Generasi baharu Felda Simpang Wa Ha, Johor, Nur Shyafiqa Aina Nazree antara yang memperoleh bantuan sebanyak RM1,000 menerusi SIAP.

Penuntut pengajian Sarjana Muda Sains Pendidikan (Kepujian) Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam ini menyifatkan bantuan diterima cukup bermakna buatnya.

“Saya bersyukur mendapat bantuan ini kerana memang sangat berharap. Sebelum ini semasa belajar Diploma Sains Matematik di UiTM Segamat, saya mendapat bantuan daripada sebuah agensi. Untuk peringkat ijazah, agensi itu tidak berikan bantuan kepada pelajar pendidikan.

“Jadi, saya buat kerja sambilan untuk dapat duit lebih bagi menampung keperluan pengajian. Melalui bantuan SIAP, saya gunakan untuk bayar yuran kolej, pengajian dan baki RM100 untuk duit belanja makan,” katanya yang juga cucu peneroka.

Menurut Nur Shyafiqa, dia mahu memanfaatkan segala bantuan yang diberikan dan belajar ke peringkat tertinggi dalam mengejar cita-citanya menjadi pensyarah serta menyumbang kembali kepada anak bangsa.

Sementara itu, generasi baharu Felda Trolak Selatan, Perak, Aryf Haikal Abd Rashid turut menerima bantuan SIAP berjumlah RM1,000.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Seni Kulinari di UiTM kampus Puncak Alam ini berkata, bantuan yang diterima itu cukup bermakna dan berharga.

“Saya hanya mencuba nasib dan sedar mungkin ramai yang memohon. Pada masa sama, saya sangat berharap kerana kursus ini memerlukan banyak duit untuk pembelajaran secara teori dan praktikal. Ada bahan yang perlu dibeli sendiri.

“Alhamdulillah, syukur apabila Felda beri RM1,000. Duit ini saya gunakan sepenuhnya untuk belajar. Terima kasih kepada Felda yang membantu meringankan beban anak-anak generasi baharu meneruskan pengajian,” katanya yang juga cucu peneroka.

Dia turut berhasrat mencari pengalaman bekerja terlebih dahulu selepas menamatkan pengajian sebelum merancang membuka perniagaan sendiri suatu hari nanti.

Artikel berkaitan 

KPM terus perkasa ekosistem pendidikan negara – Radzi Jidin

Kerjasama UiTM dan TikTok perkasa pendidikan menerusi media sosial

Perkasa pendidikan negara, kerjasama bersama dua universiti di Turkiye termeterai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp