SK Bidor 2 menjadi lokasi pertama pelancaran Kempen Internet Selamat anjuran SKMM.
SK Bidor 2 menjadi lokasi pertama pelancaran Kempen Internet Selamat anjuran SKMM.

SK Bidor 2 jadi lokasi pertama Kempen Internet Selamat SKMM

NORMAWATI ADNANNORMAWATI ADNAN
10 Apr 2025 12:53pm

Sekolah Kebangsaan (SK) Bidor 2, Perak menjadi lokasi pertama pelancaran Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kempen yang menyasarkan penyertaan sebanyak 10,246 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara itu, bertujuan memberi pendedahan mengenai keselamatan dalam talian serta melindungi diri daripada ancaman siber.

Selain pelajar, jelajah kempen dilancarkan Kementerian Komunikasi itu turut melibatkan guru, ibu bapa dan komuniti sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara.

Mohd Azlan menyantuni murid SK Bidor 2 sempena program Kempen Internet Selamat di Tapah pada Khamis.
Mohd Azlan menyantuni murid SK Bidor 2 sempena program Kempen Internet Selamat di Tapah pada Khamis.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, tumpuan kempen terhadap murid sekolah rendah adalah inisiatif yang baik selaras dengan fokus kerajaan terhadap isu keselamatan digital kanak-kanak.

"Sebelum ini, banyak program keselamatan siber kita tumpukan kepada sekolah menengah.

“Namun dalam Kempen Internet Selamat ini, kita fokus kepada kanak-kanak bawah usia 13 tahun supaya kawalan dapat dilakukan dari peringkat awal dan mengelakkan mereka daripada terdedah kepada risiko bahaya siber," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen berkenaan pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, V Mano Verabathran; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak, Yosri Abu Mahsin dan Pengarah SKMM Perak, Mohd Irwan Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azlan berkata, kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial seperti TikTok atau Facebook.

Katanya, lebih-lebih lagi ketika ini trend jenayah siber terutama buli siber dan penipuan semakin menjadi-jadi di media sosial.

"Daripada mengambil risiko terhadap keselamatan anak-anak, kerajaan memilih untuk bertindak proaktif melalui kempen ini dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah, Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan," katanya.

Mohd Azlan bersama wakil murid dan guru yang dilantik sebagai Ikon Internet Selamat SK Bidor 2, Tapah pada Khamis.
Mohd Azlan bersama wakil murid dan guru yang dilantik sebagai Ikon Internet Selamat SK Bidor 2, Tapah pada Khamis.

Dalam majlis itu, Mohd Azlan turut menyempurnakan pelantikan Ikon Internet Selamat kepada wakil pelajar, Nur Fakihah Amani Mohd Aizuddin, 11, dan wakil guru, Mohd Syafiq Mohd Samsudin.

Turut disampaikan, modul ‘Internet Selamat’ kepada Guru Besar SK Bidor 2, Siti Saripah Undar.

Antara fokus utama kempen adalah mendidik kumpulan sasar mengikut umur dan peranan masing-masing berkaitan penggunaan media sosial secara selamat.

Modul yang diketengahkan termasuk had umur penggunaan media sosial, larangan kanak-kanak di bawah 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial serta risiko buli siber, eksploitasi seksual, ucapan kebencian dan peranan ibu bapa dalam perlindungan anak-anak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp