Sokong usaha perkembang bidang STEM, isyarat baik buat industri
KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor sentiasa menyokong usaha bagi memperkembangkan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dalam kalangan pelajar.
Menurut Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi, ia secara tidak langsung menjadi isyarat buat mana-mana industri penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menjalin kerjasama dengan sektor pendidikan bagi menjayakan usaha tersebut.
Justeru, ujar beliau, K-Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi STEM (K-SEMANIS)’23 menjadi peluang penting buat para pelajar menampilkan hasil inovasi dan teknologi kepada pihak industri bagi tujuan pengkormesialan.
“Sudah pasti kerajaan Selangor akan membantu kerana platformnya sudah ada dan kewujudan Selangor R&D And Innovation Expo (SRIE) yang berupaya menjadi penghubung hasil teknologi yang dibawa pelajar kepada global,” ujarnya di Majlis Pelancaran K-SEMANIS ‘23 pada Rabu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, Selangor.
Hadir sama, Timbalan Rektor (Penyelidikan serta Inovasi) UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr Asmah Awal; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Klang, Maimunah Mustaffa dan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Hanisah Mohd Ali.
Turut serta, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM merangkap Pengerusi bersama K-SEMANIS ‘23, Profesor Madya Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris dan Timbalan PPD Sektor Pembelajaran PPD Klang, Sa'adah Kasiran.
Sementara itu, Profesor Dr Asmah yakin karnival ini akan menjadi satu medium untuk para guru berkongsi dapatan mengenai penyelidikan teknologi.
“Semoga inisiatif ini akan terus menyemarakkan lagi budaya penyelidikan, pemikiran kritis dan perbincangan ilmiah.
“Teras pembangunan sesebuah tamadun bergantung kepada usaha penghasilan dan pengembangan ilmu terkini,” ulasnya.
Sementara itu, Pegawai PPD Klang, Maimunah Mustaffa ketika ditemui memberitahu, K-SEMANIS '23 merupakan peluang buat pelajar menampilkan kreativiti dan inovasi selaras dengan konsep pendidikan kini iaitu Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).
“Peluang ini kita buka kepada semua pelajar sama ada di peringkat rendah atau menengah dan juga guru di seluruh negeri Selangor.
“Kita hendak dekatkan para pelajar kepada STEM ini kerana terdapat pelajar yang berasa takut untuk mendekati aliran tersebut termasuk juga ibu bapa kerana dianggap susah,” jelasnya.