Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangani plak ketika baginda berangkat merasmikan bangunan SK Seri Serdang.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangani plak ketika baginda berangkat merasmikan bangunan SK Seri Serdang.

Sultan Nazrin rasmi bangunan SK Seri Serdang

24 Sep 2025 04:30pm

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Serdang, Sitiawan, Perak. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 11.15 pagi diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama isteri, Datin Seri Aezer Zubin.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad.

Dalam sembah ucapannya, Fadhlina berkata, SK Seri Serdang mula beroperasi pada 13 Januari 2023 di atas tanah seluas 2.8 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM19 juta.

"Pada masa ini, sekolah mempunyai 611 murid dari prasekolah hingga Tahun Enam, mewakili kepelbagaian bangsa dan budaya.

"Warga pendidiknya pula terdiri daripada 42 guru yang komited serta dibantu lima staf sokongan," katanya.

Beliau berkata, peningkatan bilangan murid saban tahun jelas membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Fadhlina berkata, pembangunan pendidikan negeri yang merangkumi pelbagai aspek turut digerakkan oleh warga pendidik dan pihak pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri, termasuk usaha mereformasi pendidikan meliputi dasar, pelan kurikulum serta agenda utama seperti pengintegrasian PdP alaf baharu.

"KPM senantiasa komited memastikan setiap dasar dan pelaksanaan pendidikan memberi tumpuan kepada aspek kemenjadian murid.

"Matlamat kita bukan sekadar melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, bahkan turut membentuk sahsiah terpuji, jati diri kukuh, madani serta mempunyai kemahiran komunikasi berkesan dan daya tahan menghadapi cabaran masa hadapan," katanya. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan bangunan Sekolah Kebangsaan Seri Serdang, Sitiawan
  • Turut hadir Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah
  • Sekolah Kebangsaan Seri Serdang mula beroperasi pada 13 Jan 2023 dengan kos pembinaan RM19 juta
  • Memiliki 611 murid dari prasekolah hingga Tahun Enam dan 42 guru yang komited
  • Kementerian Pendidikan komited memastikan pendidikan memfokuskan pada kemenjadian murid serta pembentukan sahsiah terpuji
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp