
‘Sungguh kami berduka’, pensyarah kongsi suasana pilu akibat lima mahasiswi terlibat kemalangan bas
Suasana dalam kelas selepas cuti pertengahan semester yang selalunya menjadi riuh-rendah bertukar pilu selepas mendapat perkhabaran duka tentang kemalangan tragis membabitkan hampir 40 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Nahas jalan raya itu meragut 15 nyawa mahasiswa universiti berkenaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin.
Siapa sangka, hasrat mereka untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu berakhir dengan pemergian yang tidak disangka-disangka.
Momen menyayat hati itu bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga dan umat Islam, malah turut memberi kesan mendalam kepada pensyarah di UPSI.
Berdasarkan perkongsian salah seorang pensyarah menerusi hantaran di Facebook, Prosefor Madya Dr Zulfiqar Shah A Hadi meluahkan kesedihan mendalam sejurus menerima perkhabaran duka tersebut.
Menurutnya, suasana dalam kelas pada hari kejadian (Isnin) bertukar pilu.
“Permulaan kelas tadi, suasana pilu di UPSI. Sungguh kami berduka.
“Lima mahasiswi – anak didik kami, Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI terlibat dalam kemalangan ini.
“Dua daripadanya meninggal dunia, seorang cedera kritikal (pembedahan segera di kepala), seorang cedera teruk (dalam rawatan) dan seorang patah tangan. Semoga ALLAH SWT mudahkan,” katanya.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas yang dinaiki mahasiswa dipandu dengan laju dan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza, kemudiannya hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.