
Tragedi Jalan Jeli-Gerik: 14 pelajar UPSI terkorban, negara berkabung
Negara dikejutkan dengan satu tragedi memilukan awal pagi ini apabila 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Bas itu difahamkan dalam perjalanan membawa pelajar dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, sebelum berlaku pertembungan dengan sebuah kenderaan lain.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu telah menyebabkan operasi menyelamat besar-besaran digerakkan oleh pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, bomba, polis serta Kementerian Kesihatan.
Pemimpin zahir takziah
Tragedi ini mendapat perhatian meluas termasuk daripada pimpinan tertinggi negara. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar buat dunia pendidikan dan rakyat keseluruhannya.
“Kehilangan 14 nyawa muda dalam satu perjalanan ilmu merupakan satu dugaan yang amat besar. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan penuh daripada agensi berkaitan telah diminta bagi membolehkan tindakan lanjut diambil serta menyeru semua pihak untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menzahirkan kesedihan mendalam atas insiden tragis tersebut.
“Saya amat berdukacita menerima khabar tragedi ini. Ucapan takziah yang amat mendalam kepada keluarga mangsa dan doa agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya sambil turut mendoakan agar mangsa yang cedera diberi kesembuhan segera.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan memberi bantuan teknikal dan kepakaran kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan insiden.
“Kami akan terus pantau dan memberikan kerjasama penuh agar siasatan dapat dijalankan menyeluruh serta memastikan keselamatan jalan raya dipertingkat,” katanya.

Komuniti pendidikan terpukul
Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh komuniti UPSI yang rata-ratanya terdiri daripada bakal pendidik negara.
Pensyarah, rakan-rakan pelajar, serta alumni universiti turut menzahirkan rasa sedih dan berkabung atas kehilangan tersebut yang berlaku dalam perjalanan mereka menuntut ilmu sebagai satu pengorbanan yang tidak ternilai.
Seluruh warga pendidikan kini bersatu hati mendoakan roh para pelajar yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Bagi mangsa yang cedera, doa dan harapan terus mengalir agar mereka pulih sepenuhnya, fizikal dan emosi.
Sinar Bestari turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.