
Syed Saddiq pendebat terbaik Asia! 'Hebat alumni UIAM & Maktab Tentera Diraja ini'
Nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus menjadi topik perbualan utama di media sosial dan dalam kalangan rakyat hari ini.
Sebagai figura muda yang pernah mencipta sejarah dalam arena politik Malaysia, setiap perkembangan mengenai dirinya pasti menarik perhatian masyarakat.
Selain penglibatan dalam politik, terdapat pelbagai aspek lain dalam latar belakangnya yang mungkin kurang diketahui oleh orang ramai.
Di sini, Sinar Bestari kongsikan serba ringkas biodata dan kehebatan akademik Syed Saddiq sebagai pengetahuan umum.
Syed Saddiq yang kini berusia 32 tahun dilahirkan di Pulai, Johor Bahru, Johor dan merupakan anak kepada pasangan Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Johor Bahru, Johor dan Maktab Sultan Abu Bakar atau English College.
Selepas itu, beliau menyambung pengajian di Maktab Tentera Diraja dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Sarjana Muda Undang-undang serta Universiti Nasional Singapura (Lee Kuan Yew Senior Fellowship in Public Service).
Semasa di UIAM, Syed Saddiq terkenal sebagai pendebat hebat kerana kelantangannya yang berani bersuara sebagai rakyat Malaysia.
Keistimewaan dimiliki itu membolehkan beliau muncul sebagai penerima anugerah pendebat terbaik Asia semasa mewakili UIAM dalam Kejohanan Debat Bersatu Asia (UADC).
Ahli Parlimen Muar itu juga pernah meraih anugerah pendebat terbaik (ESL) di Kejohanan Australia, Cambridge dan Oxford Inter-Varsities pada 2012-2014.

Dalam masa sama, beliau turut memenangi anugerah Asia’s Best Speaker dalam Kejohanan Debat Asian British Parliamentary (ABP) Debating Championship sekali gus menjadikannya antara individu muda Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat global dalam bidang perdebatan.
Memetik perkongsian Syed Saddiq dalam sebuah portal tempatan, beliau telah berkongsi beberapa rahsia untuk berjaya dalam dunia debat.
"Pelajar perlu ada tip dan strategi jika mahu menjadi pendebat terbaik.

"Selain perlu rajin mendapatkan fakta-fakta baharu di surat khabar tempatan dan portal dalam talian luar negara, pelajar juga wajib membuat persediaan awal.
"Pendebat juga harus melakukan kajian tentang sesuatu topik yang ingin dikupas. Ini kerana, debat bukan sekadar menjuarai pertandingan sebaliknya anda harus menjadikan debat sebahagian daripada hidup dan perlu berlatih setiap hari," katanya.
