![Pasukan Inovasi Negeri Pahang melakar kejayaan di peringkat antarabangsa dengan membawa pulang pingat emas pada Ipitex 2025 baru-baru ini. Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/09/3000502.jpg)
SMA Al-Maarif, SMK Abdul Rahman Talib @ SMART raih pingat emas di IPITEx, Bangkok
Pasukan Inovasi Negeri Pahang diwakili Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maarif dan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) melakar sejarah tersendiri apabila memenangi pingat emas pada Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi Harta Intelek Antarabangsa Bangkok (IPITEx) 2025 baru-baru ini.
Kejayaan wakil Pahang dari Pusat Pameran Teknologi Antarabangsa Bangkok, Thailand itu dikongsi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Melalui perkongsian Wan Rosdy di Facebooknya, SMA Al Maarif memenangi pingat emas bagi projek inovasi Hairy from Waste to Wealth dan Kad Pintar Pelajar Pelbagai Guna.
Menurutnya, SMART pula memenangi pingat emas bagi projek Universal Mobilizer.
"Saya difahamkan pertandingan inovasi peringkat antarabangsa ini melibatkan penyertaan daripada 24 buah negara termasuk Jerman, United Kingdom, China, Jepun dan Indonesia.
"Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak Pahang untuk mengorak langkah untuk berjaya dalam apa juga bidang diceburi. Syabas dan tahniah diucapkan," ujarnya.
![Pasukan SMA Al-Maarif meraih pingat emas bagi dua projek inovasi ciptaan mereka iaitu Hairy From Waste to Wealth dan Kad Pintar Pelajar Pelbagai Guna dalam Ipitex 2025. Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/09/3000467.jpg)
Kejayaan pasukan inovasi Negeri Pahang melakar kecemerlangan di peringkat antarabangsa itu turut mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.
JPN Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaaan dan ucapan tahniah kepada peserta dari SMA SMA Al-Maarif dan SMART atas kejayaan dianugerahkan itu.
"SMA Al-Maarif mempertaruhkan dua projek inovasi ciptaan mereka iaitu Hairy From Waste to Wealth dan Kad Pintar Pelajar Pelbagai Guna.
"Amat membanggakan apabila kedua-dua inovasi itu diiktiraf memenangi pingat emas.
"SMART pula mempertaruhkan tiga inovasi pada pertandingan itu iaitu Universal Mobilizer (emas), Sistem Keselamatan Tingkap Kuasa i-Smart (perak) dan Bear Detection Device (perak)," katanya melalui hantaran di Facebook rasminya.
Sementara itu, JPN Pahang merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan pelajar Pahang terus mencipta kejayaan.