Wan Nur’alyaa Syaza menangis terharu menerima bantuan untuk menyambung pengajian ke USM.
Wan Nur’alyaa Syaza menangis terharu menerima bantuan untuk menyambung pengajian ke USM.

Tangisan syukur anak nelayan

ASWANY OMARASWANY OMAR
18 Sep 2024 08:00pm
A
A
A

Anak seorang nelayan, Wan Nur’alyaa Syaza Awang, 20, menangis kerana terharu apabila hasrat menyambung pengajian di Universiti Malaysia (USM) tercapai selepas menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

Wan Nur’alyaa Syaza terpaksa menolak tawaran yang diterima pada 6 September lalu, berikutan kedua ibu bapanya tidak mampu menampung yuran pengajian kerana masalah kewangan yang dihadapi.

“Saya tahu pendidikan penting untuk mengubah nasib keluarga ke arah lebih baik,” katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil ke rumahnya di Kampung Air Tawar, Cherang Ruku pada Selasa.

Anak bongsu daripada empat beradik itu memperoleh tawaran melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera selepas memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

 Muhammad Faiz (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Wan Nur’alyaa Syaza.
Muhammad Faiz (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Wan Nur’alyaa Syaza.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, Yanem membelanjakan RM61,600 untuk membantu membiayai yuran kemasukan pelajar tidak berkemampuan ke institusi pengajian awam dari Januari hingga Julai tahun ini.

Katanya, jumlah itu membabitkan 129 penerima yang menyambung pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah pertama.

Beliau berkata, bantuan yuran untuk ijazah pertama paling tinggi iaitu RM42,500 manakala diploma dan sijil masing-masing sebanyak RM18,500 serta RM600.

Muhammad Faiz berkata, seramai 89 orang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah, 38 (diploma) dan dua (sijil) dengan bantuan daripada Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem).

"Kita tahu rata-rata nelayan ini terdiri daripada golongan B40, jadi kebajikan mereka bukan sahaja terhadap ekonomi tetapi pendidikan anak-anak harus dilihat kerana ia sangat penting dan perlu diberi keutamaan," katanya.

Muhammad Faiz berkata lagi, Wan Nur' Alyaa Syaza yang memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM terpaksa menangguhkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sastera di universiti itu, namun pihaknya akan terus membantu beliau mendapatkan pendidikan yang sempurna.

"Apabila ada peluang untuk menyambung pengajian, kita akan bantu kerana bukan semua anak nelayan mempunyai peluang untuk memasuki universiti dan jika melihat rekod yang kita ada setakat ini, sebanyak 10 peratus anak nelayan tercicir dalam pendidikan.

"Kita mahu membina generasi baharu dan melahirkan anak-anak nelayan yang mempunyai ilmu tinggi serta memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang seiring dengan pemodenan teknologi terkini," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok