Adam Edmond bersama kedua ibu bapanya yang juga petani selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-28 Pusat Latihan Pertanian Bersepadu Putatan, di Wisma Pertanian Kota Kinabalu.
Adam Edmond bersama kedua ibu bapanya yang juga petani selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-28 Pusat Latihan Pertanian Bersepadu Putatan, di Wisma Pertanian Kota Kinabalu.

Tekad kongsi kemahiran, teruskan legasi keluarga jadi petani moden

22 Aug 2024 02:22pm

Ingin berkongsi kemahiran dengan kedua ibu bapa dalam bidang pertanian antara agenda utama Adam Edmond Juin, 20, yang dinobatkan sebagai pelatih terbaik bagi Projek Inkubator Perusahaan Tanaman menerusi Majlis Konvokesyen ke-28 Pusat Latihan Pertanian Bersepadu Putatan.

Adam Edmond yang berasal dari Kampung Maang, Penampang berkata, dia yang juga anak petani mahu meneruskan legasi keluarganya tetapi dalam konteks sebagai petani moden.

"Selama satu tahun mengikuti program di pusat latihan ini, saya terlibat melaksanakan penanaman jagung manis, penghasilan taugeh dan cendawan yang diinovasikan menerusi penggunaan medium serta saluran pengairan.

"Walaupun program ini hanya di peringkat sijil tetapi banyak ilmu yang saya peroleh. Saya datang dari keluarga petani dan sebelum ini saya tidak tahu pun mengenai jenis-jenis baja tetapi di sini kami didedahkan dengan pelbagai ilmu pertanian.

"Jadi dengan ilmu yang diperoleh inilah juga saya merancang untuk mengusahakan tanah kebun di kampung dan menghasilkan sayur-sayuran yang lebih berkualiti serta berganda hasilnya berbanding tanaman tradisional yang diusahakan keluarga sebelum ini," katanya ketika ditemui Sinar Bestari selepas majlis konvokesyen itu di Wisma Pertanian di sini pada Khamis.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia kini sudah bersedia untuk berpanas di kebun walaupun ketika ini generasi muda berlumba-lumba mendapatkan pekerjaan dalam pejabat berhawa dingin.

Adam Edmond menunjukkan trofi yang diterimanya selepas dinobatkan pelatih terbaik dalam Majlis Konvokesyen ke-28 Pusat Latihan Pertanian Bersepadu Putatan di Wisma Pertanian, Kota Kinabalu.
Adam Edmond menunjukkan trofi yang diterimanya selepas dinobatkan pelatih terbaik dalam Majlis Konvokesyen ke-28 Pusat Latihan Pertanian Bersepadu Putatan di Wisma Pertanian, Kota Kinabalu.

"Ya, saya bersedia. Sebab kita kena berani berhadapan dengan cabaran dan cuba sesuatu yang baharu.

"Lagi pun saya sudah ada pengalaman kerana keluarga memang ada kebun sejak tahun 2013 lagi di mana hasil tanaman kami seperti sawi bunga, bayam merah dan hijau turut dijual secara tradisional di tamu (pasar minggu).

"Jadi saya berharap hasil tanaman saya nanti akan dieksport untuk menembusi pasaran luar negara," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp