1249407
1249407

Tiada perancangan menggantikan Pendidikan Moral dengan Perpaduan - KPM

Adlan Farhan Azwan
07 Dec 2021 08:28am
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buat masa sekarang, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai sebarang perancangan bagi menggantikan mata pelajaran Pendidikan Moral dengan mata pelajaran Perpaduan.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, Pendidikan Moral merupakan mata pelajaran teras untuk murid yang tidak menganut agama Islam. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Beliau juga berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia tahun 2013-2025 mengesyorkan kurikulum Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam memberi lebih tumpuan kepada pemahaman tentang nilai universal.

BACA JUGA: KPM sediakan garis panduan, elak murid terus tercicir

BACA JUGA: Penularan kes COVID-19 di sekolah terkawal – Mohd Radzi

“KPM telah melaksanakan penambahbaikan secara bersepadu dengan memberi lebih tumpuan kepada elemen perpaduan dalam aspek kurikulum, strategi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta bahan sokongan.

“Elemen perpaduan dalam Pendidikan Moral diterjemahkan secara eksplisit dan diperkembangkan melalui tema dan bidang dan khusus.

“Selain itu, strategi PdP seperti Pembelajaran Penyelesaian Masalah, Pembekalan Khidmat Masyarakat dan Pembelajaran Berasaskan Projek dilaksanakan bagi meningkatkan penerapan dan pemantapan elemen perpaduan dalam Pendidikan Moral,” kata Hang Soon ketika persidangan semalam.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, strategi PdP ini bukan sahaja melibatkan semua warga sekolah, malah turut melibatkan masyarakat sekeliling selari dengan konsep ‘whole of school’ dan ‘whole of society’ kerana perpaduan adalah tanggungjawab kita bersama.

“KPM juga menghasilkan bahan sokongan untuk memantapkan amalan perpaduan dalam kalangan murid iaitu Buku Panduan Perlaksanaan memperkukuh perpaduan melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dalam kurikulum.

Ikuti GPSBestari di Twitter dan Facebook

“Buku panduan ini menjadi rujukan guru Pendidikan Moral untuk memperkukuh perpaduan secara terancang melalui pelbagai cadangan aktiviti PdP di dalam dan di luar bilik darjah.

“Penambahbaikan Pendidikan Moral dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menjadikan mata pelajaran tersebut relevan dengan keadaan semasa dalam memupuk dan meningkatkan amalan perpaduan serta integrasi kaum dan etnik dalam kalangan murid,” jelas beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok