Dalam usaha untuk memperkasakan pelajar lepasan maahad tahfiz dan pondok, Alimuddin turut mencadangkan semua IPTA supaya menyediakan program khas.
Dalam usaha untuk memperkasakan pelajar lepasan maahad tahfiz dan pondok, Alimuddin turut mencadangkan semua IPTA supaya menyediakan program khas.

Tidak ambil SPM, lepasan sekolah agama swasta berisiko tercicir masuk universiti - Alimuddin

15 Jan 2026 09:41am

Sebahagian besar pelajar lepasan institusi agama swasta khususnya maahad tahfiz dan pondok berdepan risiko tercicir daripada arus pendidikan perdana apabila sebahagian daripada mereka tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, tindakan itu sekali gus mengehadkan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Berikutan itu, beliau berkata, langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan mereka diberikan peluang saksama untuk melanjutkan pengajian di universiti, lebih-lebih lagi trend ketika ini menunjukkan ramai ibu bapa lebih cenderung memilih pengajian aliran agama swasta untuk anak-anak.

"Ketika ini, terdapat 1,540 institusi agama di seluruh negara dengan jumlah pelajar kira-kira 79,000 orang. Isunya sebahagian besar pelajar di sekolah agama swasta ini tidak ambil SPM, ada dua sebab...pertama, visi dan misi utama maahad tahfiz adalah untuk lahirkan huffaz, kedua mereka kekurangan dana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). 

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam usaha untuk memperkasakan pelajar lepasan maahad tahfiz dan pondok, Alimuddin turut mencadangkan semua IPTA supaya menyediakan program khas.

"Pelajar mungkin masih boleh menguasai subjek seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Agama Islam secara kendiri, namun bagi subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, bimbingan guru amat diperlukan.

"Justeru, adalah dicadangkan agar semua IPTA menyediakan program khas atau foundation (asas) untuk pelajar lepasan maahad tahfiz dan pondok dengan pada akhir pengajian, mereka boleh dinilai dan jika keputusannya baik, mereka dapat diserap ke aliran arus perdana," katanya.

Artikel Berkaitan:

Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil dilaksanakan kerana beberapa institusi telah pun menyediakan program khas untuk lepasan maahad tahfiz, termasuk Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), UPSI, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Politeknik Malaysia. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Sebahagian besar pelajar lepasan institusi agama swasta tidak mengambil SPM menyebabkan mereka tercicir dari pendidikan perdana
  • Langkah proaktif diperlukan untuk memastikan pelajar tersebut memiliki peluang untuk melanjutkan pengajian di IPTA
  • Ada 1,540 institusi agama dengan jumlah pelajar sekitar 79,000, kebanyakannya tidak mengambil SPM kerana fokus kepada hafazan dan kekurangan dana
  • Cadangan supaya IPTA menyediakan program khas atau foundation untuk pelajar lepasan institusi agama untuk memudahkan penyertaan mereka dalam pendidikan arus perdana
  • Beberapa institusi sudah menyediakan program khas untuk lepasan maahad tahfiz termasuk USAS, UPSI, UniKL, dan Politeknik Malaysia
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp