Terus ke Lembaga Peperiksaan antara kaedah yang boleh dilakukan pelajar dalam mendapatkan sijil peperiksaan yang hilang atau rosak.
Terus ke Lembaga Peperiksaan antara kaedah yang boleh dilakukan pelajar dalam mendapatkan sijil peperiksaan yang hilang atau rosak.

Tiga cara memohon salinan sijil peperiksaan yang hilang

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
02 Jun 2024 01:23am

Semua pasti menyedari kepentingan sijil sebagai dokumen paling utama yang harus dijaga dengan baik.

Ini kerana sijil bagaikan ‘nyawa’ yang akan digunakan sepanjang masa terutamanya membabitkan urusan rasmi.

Bagaimanapun, timbul pertanyaan dalam kalangan ramai berkenaan kehilangan atau kerosakan sijil tersebut akibat bencana seperti banjir atau kebakaran.

Sijil seperti sijil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lain-lain hilang dan rosak sekelip mata kerana bencana tersebut.

Hari ini, Sinar Bestari tampil membantu para pelajar yang berhadapan masalah tersebut dengan merujuk panduan di bawah ini.

Semoga bermanfaat!

*****

Bagaimana untuk memohon salinan sijil keputusan peperiksaan seperti SPM, STPM dan lain-lain?

Artikel Berkaitan:

Permohonan salinan sijil boleh dilakukan melalui tiga kaedah iaitu;

1) Terus ke Lembaga Peperiksaan (LP)

Pemohon boleh hadir sendiri ke kaunter sijil yang terletak di Lobi Utama, Aras Bawah, Blok E11, LP, Putrajaya dengan membawa bersama kad pengenalan diri dan salinan keputusan (jika ada).

2) Mewakili pihak ketiga (Ibu bapa/suami/isteri/anak)

Sekiranya pemohon tidak dapat hadir, pemohon boleh melantik wakil secara bertulis yang terdiri dalam kalangan ahli keluarga terdekat. Wakil yang dilantik perlu membawa bersama Surat Pelantikan Wakil yang ditandatangani oleh pemohon berserta salinan kad pengenalan pemohon yang telah disahkan. Permohonan melalui orang perseorangan, agen atau syarikat tertentu tanpa Surat Pelantikan Wakil tidak dibenarkan.

3) Permohonan melalui pos

Pemohon boleh membuat permohonan melalui pos dengan cara menghantar Borang Permohonan Salinan Keputusan.

Borang yang telah lengkap diisi beserta salinan kad pengenalan hendaklah dipos ke alamat yang tertera di dalam laman web LP.

Pemohon digalakkan menyertakan sampul pos ekspress beralamat sendiri bagi tujuan penghantaran salinan pernyataan keputusan peperiksaan.

Borang Permohonan Salinan Keputusan boleh didapati di kaunter sijil LP Putrajaya atau boleh dimuat turun dari laman sesawang lp.moe.gov.my

Setiap permohonan akan dikenakan bayaran proses sebanyak RM30.

Bayaran boleh dibuat secara tunai atau menggunakan Wang Pos (Postal Order) atau Kiriman Wang (Money Order) atas nama ‘AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA’. Cek persendirian tidak diterima.

Seterusnya, tempoh pengeluaran salinan pernyataan keputusan peperiksaan bagi permohonan di kaunter LP adalah seperti berikut;

i) SPM pada atau selepas 1994 - Satu jam

ii) SPM pada atau sebelum 1993 - Tujuh hari bekerja

iii) Lain-lain peperiksaan - Tujuh hari bekerja

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp