Dari kiri, Cikgu Stefanus, Cikgu Sydney dan Cikgu Jennedy yang dipilih finalis dalam Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024.
Dari kiri, Cikgu Stefanus, Cikgu Sydney dan Cikgu Jennedy yang dipilih finalis dalam Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024.

Tiga guru Sabah finalis Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024

04 Apr 2024 03:58pm
A
A
A

Tiga guru dari Sabah telah disenarai pendek sebagai finalis dalam Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024.

Mereka ialah Cikgu Sydney Engelbert Ganggang dari Kolej Vokasional Keningau, Cikgu Stefanus Lucas dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran dan Cikgu Jennedy Pungawon Sekolah Menengah Kebangsaan Langkon, Kota Marudu.

Ketiga-tiganya berada dalam kalangan 90 calon seluruh dunia yang terpilih daripada 14,800 pencalonan diterima dari 141 buah negara.

Di sini, Sinar Bestari kongsikan sebahagian sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka dalam meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia sehingga muncul peserta akhir di anugerah berprestij itu.

Cikgu Sydney dipilih berdasarkan sumbangannya dalam bidang pendidikan menerusi penubuhan program pengantarabangsaan melalui dunia maya dengan sekolah-sekolah di rantau Asia Tenggara.

Usaha beliau memperkayakan pengalaman pembelajaran para pelajar telah membawa kepada pengasasan program kelas pertukaran dalam talian pada tahun 2022 dengan beberapa sekolah vokasional di Filipina, Kemboja dan Indonesia.

Bagi Cikgu Stefanus yang merupakan guru muzik pula, beliau telah mengamalkan prinsip ‘fokus kepada kebolehan, bukan kekurangan’ dalam pengajarannya kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Guru muda ini merintis projek Suara Kami @ Our Voices yang memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi dan persembahan serta memupuk keyakinan pelajar mengekspresikan diri.

Artikel Berkaitan:

Bagi merapatkan jurang pelajar yang mengalami masalah penglihatan, Cikgu Stefanus mencipta alat bantuan pengajaran daripada bahan terpakai seperti bakul telur bagi memudahkan pembelajaran not muzik lebih menarik dan mudah diakses.

Kumpulan muzik sekolah tersebut telah meraih pelbagai anugerah antaranya diploma perak pada Kejohanan Folklore Eropah Ke-14 ‘Euro Folk 2022’ dan johan Pertandingan Muzik Antarabangsa Dunia USA pada 2021.

Sementara itu, Cikgu Jennedy atau Cikgu Ned dipilih sebagai finalis kerana berjaya membentuk murid-muridnya menjadi insan yang lebih yakin.

Guru muda ini telah membantu mengatasi masalah kerisauan sosial dalam kalangan murid dengan memberikan peluang menyertai pertandingan pengucapan awam.

Sebagai contoh, seorang bekas muridnya berjaya merangkul johan peringkat daerah dan menduduki lima teratas di Sabah dalam satu pertandingan hasil bimbingan beliau.

Diharapkan wakil-wakil guru dari Sabah ini berjaya membawa pulang kemenangan sekali gus mengharumkan nama negara dan sekolah masing-masing.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok