Fadhlina
Fadhlina

Tindakan tatatertib akan diambil jika guru salah guna waktu PdP - Menteri Pendidikan

ROSHLAWATY MD RAIEH
17 Aug 2023 01:01pm
A
A
A

“Mana-mana guru yang dikenal pasti menggunakan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk terbabit dalam kempen atau sosial media boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Ia kerana tidak ada kebenaran khas untuk mereka (penjawat awam) menggunakan waktu bertugas untuk berkempen serta kepada orang awam dan ibu bapa, anda boleh majukan aduan tersebut mengikut saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA),” demikian tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan merujuk Isu 3 - Penglibatan guru dalam kempen dan sosial media menerusi hantaran 14 Respon Warkah yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Katanya lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka (guru-guru) yang melanggar peraturan tersebut (Isu 11).

“Setiap aduan yang diajukan mengikut saluran SISPAA dan lain-lain telah pun diambil tindakan oleh unit integriti.

“Hinaan dan cacian yang menyentuh isu 3R (raja, agama dan bangsa) juga akan disiasat oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Pada Selasa, Fadhlina berkongsi catatan mengenai 14 Respon Warkah melalui Facebook rasminya.

14 Respon Warkah tersebut terdiri daripada;

1) Isu 1 - Pemimpin parti pegang jawatan di Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Artikel Berkaitan:

Saya mohon mana-mana pihak yang terima butiran dan lampiran sebagai dokumen sokongan, boleh kongsikan di link berikut: https://fadhlinasidek.com/kami-pro-mendengar/

2) Isu 2 - Isu tidak turun padang menjelaskan dasar-dasar kerajaan.

Terdapat dua program utama yang melibatkan struktur di peringkat pusat, negeri dan daerah: Jerayawara Pendidikan Madani & Mini Karnival Pendidikan.

3) Isu 3 - Penglibatan guru dalam kempen dan sosial media.

Mana-mana guru yang dikenal pasti menggunakan waktu PdP boleh dikenakan tindakan tatatertib. Orang awam dan ibu bapa boleh majukan aduan dan tidak ada kebenaran khas untuk penjawat awam yang menggunakan waktu bertugas untuk berkempen.

4) Isu 4 - Tidak membenarkan program Tingkatan Enam.

Fakta: KPM telah menganjurkan Program Pembinaan Karakter Insan di beberapa buah negeri yang melibatkan partisipasi pelajar Tingkatan Enam.

KPM tiada halangan untuk mana-mana program yang memberikan manfaat kepada murid-murid namun tertakluk kepada garis panduan pelaksanaan program demi keselamatan dan kebajikan murid.

5) Isu 5 - Projek di sekolah sebagai dana pilihan raya.

Proses untuk mana-mana perolehan masih lagi tertakluk kepada sistem pengurusan tender. Jika terdapat sebarang aduan dan maklum balas berkenaan isu penyalahgunaan dana bagi tujuan politik boleh ajukan salah laku ke: https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=100

6) Isu 6 - Isu fahaman ekstrem dan pendekatan PPD dan JPN.

KPM sentiasa menerapkan nilai-nilai karamah insaniah di dalam premis pendidikan. Mana-mana guru dan pensyarah di bawah perjawatan KPM juga akan dikenakan tindakan jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

7) Isu 7 - Jawatan kepada pro kerajaan.

Mana-mana individu atau pegawai yang berminat untuk memenuhi kekosongan boleh melakukan yang sedemikian seperti yang dilampirkan dalam perkhidmatan sumber manusia di https://www.moe.gov.my/.../perkhidmatan-sumber-manusia

8) Isu 8 - Menteri Pendidikan dan pegawai atasan KPM.

Semua penjawat awam sentiasa diingatkan untuk menggalas agenda Government of The Day bagi memastikan pelaksanaan dan perencanaan agenda pendidikan mampu mengikut landasan yang digariskan.

9) Isu 9 - Guru-guru ditindas oleh Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah dan Negeri.

Komitmen dalam memastikan teras pertama: Komunikasi boleh diperbaiki dan ditambah baik adalah satu tekad dalam perkhidmatan KPM. Justeru, saya sediakan laluan aduan khusus melalui web saya agar setiap individu dapat membuat aduan tanpa khuatir mereka akan dikenakan tindakan.

URL: Kami Pro Mendengar https://fadhlinasidek.com/kami-pro-mendengar/

10) Isu 10 - Program pengisian guru dan dasar Kerajaan Madani.

Institut Aminuddin Baki telah pun menganjurkan Program Seminar Membangunkan Malaysia Madani yang melibatkan semua pemegang taruh pendidikan. Namun, masih boleh ditambah baik di peringkat negeri dan daerah.

11) Isu 11 - Tindakan tegas kepada guru yang melanggar peraturan.

Setiap aduan yang diajukan mengikut saluran SISPA dan lain-lain telah pun diambil tindakan oleh unit integriti. Hinaan dan cacian yang menyentuh isu 3R juga akan disiasat oleh pihak berkuasa.

12) Isu 12 - Lantikan pentadbir sekolah tidak mengikut saluran.

Mana-mana negeri yang menerima makluman dan butiran berkenaan isu berkenaan diminta tampil untuk memberikan butiran. Ibu bapa dan guru-guru sentiasa mahukan ketelusan dalam memposisikan pasukan pentadbiran di peringkat sekolah dan wajib mengikut kapasiti yang telah ditetapkan.

13) Isu 13 - Para guru yang tidak menyokong dan mengajak murid untuk tidak menyokong.

Guru-guru adalah barisan hadapan dalam membangun pendidikan manusiawi dan agenda Malaysia Madani. Jika terdapat mana-mana pihak yang dilihat membuat sabotaj dalaman dan indoktrinisasi yang tidak sihat, pentadbir diminta untuk ambil tindakan tuntas. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga mampu berperanan dalam menjadi jambatan info dan aduan oleh murid.

14) Isu 14 - Peranan Pejabat Menteri Pendidikan dalam mengangkat Agenda Malaysia Madani.

Kami ambil tanggungjawab penuh dan akan menggiatkan lagi aktiviti yang melibatkan semua pemegang taruh pendidikan demi memastikan agenda Malaysa Madani dapat dijayakan. Semua komentar dan saranan diraikan di segenap peringkat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok