Isu kemurungan digital di Kempen Reboot

AZLEENDA SAHALUDIN
04 Jan 2024 09:57am
A
A
A

Isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian ramai khususnya penuntut universiti yang rata-ratanya berhadapan situasi melibatkan masalah emosi dan mental seperti kemurungan.

Walaupun isu kemurungan sudah tidak asing lagi didengari, namun ramai yang tidak tahu akan masalah yang seakan sama dikenali sebagai kemurungan digital.

Tertarik untuk mengetengahkan lagi isu ini, mahasiswa tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM) dari jurusan Komunikasi bermajorkan Pemujukan (Persuasive) menganjurkan Kempen Reboot bagi membantu menangani kemurungan digital yang mungkin dihadapi penuntut universiti berkenaan.

Pengarah projek kempen, Elangkoven Nair Narayanan berkata, kemurungan digital adalah kesan negatif daripada teknologi digital itu sendiri yang membabitkan penggunaan berlebihan peranti digital, media sosial atau sebarang aktiviti dalam talian.

“Penggunaan berlebihan teknologi didital ini boleh menyebabkan risiko yang tidak diingini seperti Fear of Missing Out (FoMO) dan Unrealistic Beauty Standard (UBS) yang menjadi punca utama simptom kemurungan digital dalam kalangan orang muda.

“Justeru, saya dan pasukan membawa isu ini agar ia mendapat perhatian ramai selain memberi kesedaran buat mereka,” katanya kepada Sinar Bestari.

Melalui Kempen Reboot, terdapat beberapa program dilaksanakan memandangkan ia berjalan selama dua bulan antaranya Pixel Free Serenity yang bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai cara mengatasi isu kesihatan mental melalui kaedah terapi seni seperti menerusi karya lukisan.

“Program ini menepati matlamat Kempen Reboot iaitu untuk mendidik, menyokong dan membantu mereka yang mengalami kemurungan digital demi mencapai kesejahteraan mental yang lebih sihat.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga menampilkan seorang pakar dalam bidang seni dan terapi iaitu Pensyarah Kanan Bahagian Drama dan Teater, Pusat Pengajian Seni, USM, Dr Mumtaz Begum Aboo Becker yang bertujuan untuk memastikan intipati program Pixel Free Serenity dapat disampaikan secara lebih tepat dan menepati motif utama program iaitu memanfaatkan terapi seni dalam menangani masalah kemurungan digital,” katanya lagi.

Sementara itu, Majlis Perasmian Kempen Reboot yang berlangsung pada 17 November lalu, dirasmikan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Bahiyah Omar bertempat di The Bricks USM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok