KPM akan terus meningkatkan kualiti PdP melalui pemantapan kompetensi guru secara berterusan.
KPM akan terus meningkatkan kualiti PdP melalui pemantapan kompetensi guru secara berterusan.

Tingkat kualiti PdP, ini yang dilakukan KPM kepada guru-guru

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Mar 2023 04:38pm

Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha meningkatkan kualiti guru bagi memastikan keberhasilan murid menerajui pembangunan ekonomi dan dunia global masa hadapan tercapai.

Sebagai contoh, guru dilengkapkan dengan ilmu bidang (content knowledge) dan ilmu keguruan (Technological Pedagogical Content Knowledge) yang merangkumi kursus wajib seperti pedagogi, pentaksiran dalam pendidikan, psikologi pembelajaran, teknologi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta profesionalisme keguruan dan kepimpinan guru menerusi latihan perguruan yang diikuti.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, kursus tersebut mengupayakan guru menggunakan pedagogi terkini dan kontemporari seiring dengan trend pendidikan global dan ke arah pembelajaran bermakna.

“Usaha memantapkan kompetensi guru diteruskan menerusi peluang pembangunan profesionalisme berterusan agar guru sentiasa bersedia dan bermotivasi untuk menjalankan tugas serta meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing.

“Guru juga dilengkapkan dengan kemahiran pendidikan digital bagi mendepani pendidikan abad ke-21.

“Selain itu, guru digalakkan untuk membangunkan kompetensi melalui aktiviti komuniti pembelajaran profesional yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah untuk berkongsi kaedah dan amalan terbaik dalam PdP,” ujar Hui Ying.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan Tuan Aknan Ehtook yang meminta KPM menyatakan apakah langkah yang diambil bagi meningkatkan kualiti PdP agar setanding dengan sekolah-sekolah di luar negara di Dewan Negara pada Selasa.

Sementara itu, Hui Ying berkata, KPM turut menyediakan platform Repositori SumberKU yang memuatkan pelbagai bahan sokongan PdP sebagai rujukan dan panduan kepada guru dan warga KPM.

Artikel Berkaitan:

“Bahan sokongan PdP tersebut terdiri daripada kompilasi modul pedagogi yang sentiasa ditambah baik dan beberapa modul baharu yang dibangunkan seperti Modul Pedagogi Terbeza, Modul Pembelajaran Masteri, Modul Pembelajaran Teradun, Modul Pembelajaran Berasaskan Projek dan Modul Kecerdasan Pelbagai.

“Bahan sokongan PdP yang dirangka merangkumi konsep, strategi dan contoh aktiviti PdP bermula dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat sekolah menengah,” ujarnya dengan menambah KPM akan terus meningkatkan kualiti PdP melalui pemantapan kompetensi guru secara berterusan seiring dengan keperluan pendidikan peringkat antarabangsa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp