Pelajar memilih untuk memasuki Tingkatan Enam mempunyai peluang yang besar untuk berada di universiti.
Pelajar memilih untuk memasuki Tingkatan Enam mempunyai peluang yang besar untuk berada di universiti.

Tingkatan Enam sarat cabaran tapi ada keistimewaan sendiri

05 Jun 2024 07:30am

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada bulan lalu, bukan pengakhiran buat pelajar.

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort, Muhamad Fared Zulkafli berkata, sebaliknya ia permulaan menentukan hala tuju lepasan SPM sama ada meneruskan pembelajaran di Tingkatan Enam atau ke institut pengajian tinggi yang lain.

Beliau yang juga merupakan guru Akademik Tingkatan Enam berkata, pelajar perlu bijak memilih hala tuju masing-masing kerana ia sebahagian daripada proses peralihan pembelajaran di masa hadapan.

Beliau yang juga guru bagi mata pelajaran Pengajian Am, mengakui sudah tentu setiap pilihan ada cabaran dan halangannya begitu juga bagi Tingkatan Enam.

Menurutnya, Tingkatan Enam merupakan peringkat pendidikan yang sarat dengan cabaran dan halangan, namun juga membawa peluang yang besar dan keunikannya boleh dimanfaatkan dengan baik oleh pelajar.

"Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh pelajar Tingkatan Enam adalah perubahan personaliti dan sikap.

"Peralihan dari kehidupan sekolah menengah ke alam pembelajaran yang lebih mencabar di Tingkatan Enam menuntut penyesuaian diri yang lebih besar," katanya ketika berkongsi mengenai pendidikan di Tingkatan Enam.

Katanya lagi, selain itu, terdapat juga cabaran dari segi akademik, seperti kurikulum yang semakin mencabar, beban kerja yang meningkat, dan persaingan yang sengit untuk memasuki universiti impian.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga, faktor motivasi dan rangsangan yang kurang daripada pihak tertentu juga boleh menjadi halangan kepada pelajar untuk terus cemerlang," katanya.

Bagaimanapun, Muhamad Fared yang sudah 21 tahun mengajar di Tingkatan Enam berkata, pengajian peringkat pra-universiti itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri, seperti pengiktirafan yang luas untuk kemasukan ke universiti dan peluang untuk membina kematangan diri.

"Oleh itu, pelajar Tingkatan Enam perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran dan halangan, namun juga perlu bijak memanfaatkan peluang yang ada untuk terus cemerlang dan berjaya," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp