
Tun Mahathir kongsi tip cemerlang akademik...'Jangan cepat putus asa, ulang kaji berkali-kali & usaha lebih'
Ulang kaji pelajaran secara berulang dan konsisten menjadi kunci kejayaan dalam akademik, itulah nasihat bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad kepada generasi muda.
Dalam episod khas Podcast Dr M sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100 baru-baru ini, beliau berkongsi pandangan dan pengalaman zaman belajar dahulu termasuk ketika menuntut dalam bidang perubatan.
“Kalau kita tertinggal dalam pelajaran, jangan cepat putus asa. Kena ulang kaji banyak kali dan usaha lebih daripada orang lain," kata Tun Mahathir yang terkenal dengan ketekunan dalam menuntut ilmu sejak di bangku sekolah.
Menceritakan detik zaman persekolahan, beliau berkata, dirinya sentiasa bersaing untuk menjadi pelajar terbaik di dalam kelas, bersaing rapat dengan seorang rakan sekelas yang turut cemerlang.
Namun, apabila menyambung pengajian dalam bidang perubatan, Tun Mahathir mengakui berdepan cabaran apabila tahap kelayakannya ketika itu lebih rendah berbanding rakan-rakan lain.
"Saya terpaksa kejar mereka. Jadi saya ambil pendekatan yang lebih serius. Saya baca buku teks berulang kali. Bukan sebab nak hafal, tapi bila kita ulang baca, kita akan lebih faham,” katanya.
Menurut beliau lagi, pengulangan bacaan membantu otak untuk ‘melihat’ dan memahami isi pelajaran dengan lebih jelas sekali gus memudahkan seseorang menjawab soalan peperiksaan.
"Macam kita selalu jumpa kawan, kita kenal wajah dia. Bukan sebab kita hafal muka dia, tapi sebab selalu tengok. Ilmu pun sama. Bila kita baca banyak kali, kita kenal dan ingat.
"Sama juga ketika saya ukir kayu. Pada mula hodoh. Lepas itu, sedikit demi sedikit, ia jadi cantik," katanya.
Tun Mahathir juga menekankan pentingnya membaca, bukan hanya buku teks tetapi juga pelbagai bahan bacaan lain yang menarik minat.
"Kalau buku itu menarik, saya baca lebih. Tak semestinya buku pelajaran saja," katanya.