

Game Changers: Antara Budaya dan Sukan ketengahkan kisah kejayaan atlet, artis di arena global
Game Changers: Antara Budaya dan Sukan yang menghimpunkan atlet dan artis berjaya dilaksanakan dengan gemilang oleh sekumpulan pelajar bidang Sarjana Pengurusan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan (FSKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Seramai 14 pelajar yang terlibat itu bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada realiti komunikasi rentas budaya yang perlu dihadapi atlet kebangsaan.
Dekan FSSK, Profesor Dr Kadaruddin Aiyub berkata, mahasiswa berkenaan menerima pengalaman sekali gus memperkukuhkan lagi segala usaha yang dipelajari.
“Ini bukan sekadar satu projek, tetapi satu usaha yang sangat berterusan, yang kita lakukan di peringkat universiti.
“Ia menyatukan antaranya ilmu dan juga praktik yang seharusnya dilakukan oleh semua.
“Kita amat berharap bahawa usaha-usaha kita ini dapat mengembangkan lagi dan juga mengukuhkan warisan serta tujuan yang disasarkan,” katanya ketika berucap semasa Program Game Changers: Antara Budaya dan Sukan di Chow Kit FSSK universiti itu.
Program berkenaan menghimpunkan ikon sukan negara yang telah menempuh cabaran budaya di luar negara seperti Al Jufferi Jamari (Silat); Norshahrul Idlan Talaha (Bola Sepak); Adli Hafidz ‘Golden Boy’ (Tinju); Amisha Azrilrizal; Ali Yaakub (Muay Thai) dan Sharul Aimy (Gimnastik).
Turut memeriahkan acara ialah persembahan khas oleh barisan artis tanah air yang membawa naratif budaya dalam muzik seperti Noraniza Idris (Ratu Etnik Kreatif), Mawi (Juara Akademi Fantasia) dan Tomok (Ikon pop).
Lebih menggembirakan apabila perkongsian daripada atlet dan artis berkenaan mampu memberikan inspirasi kepada mahasiswa serta peserta umum dengan kisah peribadi masing-masing.
Tambah Kadaruddin, golongan berkenaan antara individu yang perlu melalui cabaran budaya dan psikologi di luar negara apabila terlibat dengan pertandingan atau persembahan.
“Hari ini Game Changers juga membawa konsep sukan yang dalam pelbagai arena. Ia tidak memerlukan perterjemah atau memahami kegembiraan ketika menang atau air mata apabila tewas.
“Namun begitu apabila sukan dilihat dalam dimensi yang lebih luas sebagai platform kerjasama antarabangsa.
“Maka, komunikasi menjadi kunci utama dan ini juga kekuatan yang ada di industri kebangaan negara,” katanya.
Game Changers tersebut memberi fokus kepada pemerkasaan mahasiswa dan peserta untuk menjadi warganegara global yang berakar dalam nilai tempatan dengan memahami siapa diri mereka sebagai rakyat Malaysia.