
Future Health Leaders Camp 2025: Cungkil potensi pemimpin muda dalam bidang kesihatan
Seramai 80 pelajar dari 12 buah sekolah sekolah menengah di daerah Seremban, Negeri Sembilan menyertai Future Health Leaders Camp 2025 di KPJ Healthcare University (KPJU) baru-baru ini.
Berlangsung selama sehari, program anjuran Persatuan Pelajar Radiografi KPJU dengan kerjasama Pejabat Parlimen Rasah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan Persatuan Kebajikan Insan Darul Khusus ini menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat dan membina sahsiah pemimpin muda dalam bidang kesihatan.
Menurut pengarah program, Profesor Ts Dr Norhayati Mohd Zain, dengan tema Shaping Tomorrow’s Leaders in Healthcare, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang merentas aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai kemanusiaan.
"Program ini bukan sekadar pendedahan kerjaya, tetapi sebuah pengalaman menyeluruh yang membina semangat kepimpinan, pemikiran kritikal dan nilai empati dalam kalangan pelajar.

"Kami percaya pendidikan kesihatan perlu bermula dari peringkat awal supaya masa depan negara lebih terjamin dengan pemimpin yang celik kesihatan," katanya merangkap Pensyarah Kanan dan Teknologis Profesional.
Sementara itu, majlis penutup Future Health Leaders Camp 2025 yang disempurnakan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin menyediakan bermacam-macam aktiviti ilmiah kepada para peserta.
Antara aktivitinya termasuklah demonstrasi teknologi Virtual Reality (VR) dalam pembelajaran anatomi, pembelajaran interaktif melalui Augmented Realiti (AR), eksplorasi model organ manusia, aktiviti Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bertemakan kesihatan dan ceramah kerjaya (bidang perubatan/sains kesihatan).
Pelajar juga berpeluang menyertai bengkel pembinaan model sistem badan manusia menggunakan kit pendidikan.

Malah, mereka turut dibawa melawat ke makmal pengajaran dan pembelajaran berkaitan program sains kesihatan seperti makmal pengimejan diagnostik, farmasi, fisioterapi, pemulihan cara kerja dan wad simulasi jururawat di KPJU.
Di sana, mereka didedahkan dengan simulasi pekerjaan dalam bidang sains kesihatan dan berpeluang mencuba beberapa prosedur makmal yang disediakan.

Dalam pada itu, pelajar Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SMK Seri Pagi, Zunnur’ain Mohd Rizal berkata, aktiviti VR membuatkan dia seolah-olah berada dalam badan manusia sendiri.
Manakala pelajar SMK Mantin, Ng Mei Siang pula memaklumkan, penglibatan dia dalam program itu memberi peluang dirinya mengenali lebih dekat bidang radiografi, farmasi dan banyak lagi.
