
UiTM sahkan henti ambil pelajar program pascasiswazah dari luar negara
Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengesahkan pengambilan pelajar program pascasiswazah dari luar negara dihentikan sejak setahun lepas sejajar dengan matlamat penubuhan universiti yang khusus buat bumiputera.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, keputusan dibuat selepas pihaknya melaksanakan kajian terperinci dengan menjadikan asas penubuhan UiTM sebagai paksi utama demi memastikan universiti mencapai matlamat membantu golongan sasar.
"Kita memang sudah setahun tidak mengambil pelajar antarabangsa secara langsung dan ketika ini hanya menunggu pelajar sedia ada menghabiskan pengajian.
"Dalam Akta 173 kita secara jelas menyebut soal Perkara 153. Oleh kerana itu, kami sangat teliti untuk memastikan kita memenuhi peruntukan penubuhan asas UiTM untuk membantu bumiputera," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pelepasan Jalan-Jalan Kemerdekaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat UiTM 2025 pada Rabu.
Shahrin berkata, bagaimanapun UiTM masih mengambil pelajar luar negara untuk pertukaran mahasiswa, antara lain bagi memastikan suasana pembelajaran mempunyai elemen antarabangsa.
Berhubung dakwaan Suara Siswa UiTM yang menyatakan kemasukan komersial menerusi Program UiTMSeat Plus menimbulkan kebimbangan, Shahrin berkata saluran berkenaan bukan ruang utama pengambilan pelajar sepertimana Unit Pusat Universiti (UPU).
"Jumlahnya adalah sangat sedikit, iaitu daripada keseluruhan 199,000 pelajar hanya 46 orang sahaja yang masuk menggunakan saluran komersial, iaitu UiTMSeat Plus yang membuktikan universiti itu masih memberi keutamaan kepada saluran UPU membabitkan pelajar daripada keluarga B40.
"Kita akan pastikan mereka ini tidak tersisih dalam mencapai atau memasuki program-program yang bersifat profesional dan utama. Jadi pengumuman yang kita buat itu tidak mengganggu tugas utama kita memastikan pendidikan diberikan akses kepada bumiputera B40," katanya.
Pada Selasa, Suara Siswa UiTM mengeluarkan kenyataan menzahirkan kebimbangan serius susulan pengiktirafan Program UiTMSeat Plus dalam pekeliling berkaitan permohonan memasuki kolej kediaman, baru-baru ini.
Kesatuan itu juga mendakwa program berkenaan tidak adil apabila mewujudkan keadaan pelajar yang masuk ke universiti menggunakan saluran UPU dapat menikmati subsidi sedangkan pelajar berpendapatan rendah perlu membayar yuran tanpa subsidi sekiranya masuk menerusi saluran UiTMSeat Plus.
Terdahulu, acara Jalan-Jalan Kemerdekaan itu disertai lebih 2,000 peserta dalam kalangan petugas dan pelajar UiTM yang berjalan kaki sejauh 4.5 kilometer meliputi kawasan sekitar universiti dengan mengenakan pelbagai jenis pakaian, termasuk busana Melayu berasaskan warna Jalur Gemilang sambil melaungkan 'Merdeka' dan menyanyikan lagu patriotik. - Bernama