foodbasket2
foodbasket2

UMK perkenal Menu Food Basket Siswa Keluarga Malaysia berharga RM3.50

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
19 Jul 2022 04:00pm

KOTA BHARU - Menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan set makanan lengkap atau Food Basket Siswa Keluarga Malaysia dengan harga lebih murah berbanding di restoran atau kedai di luar kampus.

Inisiatif pakej Menu Food Basket Siswa Keluarga Malaysia@UMK ini hanya berharga RM3.50 untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam bermula 14 Julai lalu.

Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan saranan KPT dalam menangani isu kos sara hidup mahasiswa berikutan peningkatan harga barangan yang memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Ujarnya, UMK mendapat kerjasama baik daripada pihak kafeteria UMK Bachok dan UMK Kampus Jeli serta Coffee Story di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa yang menyediakan makanan berkualiti kepada pelajar.

“Pendekatan ini antara usaha pihak UMK untuk membantu para pelajar terutamanya dalam kalangan B40 melalui pelbagai kaedah bantuan dan ia adalah sebagai jihad dalam menjaga kebajikan pelajar sepanjang meneruskan pengajian di universiti.

Pelajar UMK mencuba Menu Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

“Alhamdulillah, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos sara hidup mahasiswa agar tidak rasa terbeban dengan isu peningkatan harga barang yang turut memberi impak kepada kuasa beli dalam kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Razli, pihak kafetaria juga diberi bantuan moratorium bayaran sewa selama enam bulan bermula bulan ini oleh pihak universiti seperti yang diumumkan KPT sebelum ini.

Sementara itu, UMK juga memperluaskan program Job On Campus bagi membantu pelajar yang ingin menjalankan pekerjaan di dalam kampus.

Beliau berkata, pelbagai peluang pekerjaan juga boleh diceburi oleh pelajar UMK meliputi skim pelajar bekerja, pembantu penyelidik serta menjalankan aktiviti keusahawanan di kampus atau secara dalam talian.

“Sehingga kini, seramai 24 orang pelajar berdaftar dengan skim pelajar bekerja (SPB) membabitkan kadar bayaran antara RM4/jam (prasiswazah) dan RM5/jam (pascasiswazah) manakala seramai 2,424 orang pelajar menjalankan perniagaan dan mempunyai syarikat serta berdaftar dengan syarikat siswa universiti.

“Skim pelajar bekerja meliputi pengurusan rekod dan pentadbiran pejabat serta CATeL Assistant (Housekeeper) di Companion Animal Teaching Lab, Fakulti Perubatan Veterinar,” jelasnya.

Artikel berkaitan

“Nasi lori menu wajib, tak pernah lepak di kafe mewah” – Penerima Anugerah Canselor Majlis Konvokesyen UMK kali ke 10 dan 11

Menu makanan dengan harga siling RM3.50 untuk pelajar IPT, KPT bantu tangani peningkatan kos sara hidup

UKM perkenal Menu Siswa Keluarga Malaysia, sokong inisiatif dilaksanakan KPT


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp