Ekhwan
Ekhwan

UKM perkenal Menu Siswa Keluarga Malaysia, sokong inisiatif dilaksanakan KPT

Nor Azma  Muhamat Laila
14 Jul 2022 04:57pm
A
A
A

BANGI - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut memperkenalkan Menu Siswa Keluarga Malaysia di semua kafeteria di ketiga-tiga kampusnya bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar terutamanya dari golongan B40.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, pengenalan menu itu dibuat bagi menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selain menjadi salah satu usaha pihak universiti yang cakna dan prihatin dengan keadaan semasa pelajarnya.

“Pihak pengurusan telah menetapkan harga RM3.50 untuk menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, masakan ayam atau ikan, sayur dan kuah atau sup, manakala makan malam pula adalah nasi goreng dan telur mata.

“Menu itu boleh dinikmati oleh semua pelajar UKM di semua kafeteria di dalam kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur.

"Mungkin bagi sesetengah pelajar, bantuan ini tidak seberapa, tetapi kita perlu bersyukur, inisiatif KPT ini adalah tepat pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Ekhwan.

Ujarnya lagi, bagi meringankan beban pengusaha, pihak kafeteria diberi moratorium bayaran sewaan bulanan selama enam bulan seperti yang diumumkan KPT, baru-baru ini.

“Pengurusan universiti juga telah mengadakan perbincangan bersama pengusaha kafeteria bagi mencari kaedah terbaik mengenai penyediaan menu kepada pelajar.

“Terima kasih kepada semua pengusaha kafeteria kerana memberikan kerjasama yang baik dalam penetapan harga makanan Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meluangkan masa melawat dan berkesempatan mencuba makan tengah hari Menu Siswa Keluarga Malaysia bersama pelajar UKM di kafeteria Kolej Dato’ Onn semalam selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia di universiti itu.

Beliau turut meninjau pendapat dan cadangan para pelajar berkenaan Menu Siswa Keluarga Malaysia yang dijual sehidangan lengkap sepinggan pada harga RM 3.50 di kafeteria kolej itu.

Menu tersebut merupakan salah satu daripada lima inisiatif yang diambil oleh kementerian bagi mengurangkan beban para pelajar dalam mendepani kenaikan kos sara hidup baru-baru ini.

Artikel berkaitan

Menu makanan dengan harga siling RM3.50 untuk pelajar IPT, KPT bantu tangani peningkatan kos sara hidup

Kos sara hidup tinggi di luar kampus, perlu berjimat. Jom kita cuba masak sendiri

Cari kerja lebih mudah, KPT sediakan platform untuk bakal graduan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok