umktrace
umktrace

UMK tubuh UMK TRACE di Pulau Banding

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Feb 2022 05:16pm
A
A
A

PETALING JAYA - Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Yayasan Pulau Banding (PBF) dan Belum Rainforest Management Sdn Bhd (BRM) mengukuhkan kerjasama dengan menandatangani perjanjian sewa dan memorandum persefahaman (MoU) dalam membangunkan UMK Tropical Rainforest Research Centre (TRACE) bertempat di Pulau Banding, Gerik, Perak.

Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Arham Abdullah manakala PBF pula diwakili oleh Pengerusinya, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad dan BRM diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Mazrita Mazlan.

Turut hadir bagi menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Nik Maheran berkata, kolaboratif strategik ini telah dirancang sejak dua tahun lalu bersama PBF dan BRM di mana UMK akan menggunakan sepenuhnya fasiliti Pusat Penyelidikan PBF untuk mewujudkan Living Lab yang akan memberi manfaat kepada tiga fakulti UMK.

Beliau berkata, fakulti tersebut ialah Fakulti Sains Bumi (Earth Science), Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (Hospitality, Tourism & Wellness) dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (Creative Technology & Heritage).

“Faktor kedudukan strategik PBF yang begitu hampir dengan Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor amat bersesuaian dengan konsep Living Lab kerana ia bakal menyediakan landskap menarik untuk diterokai dan dikaji flora serta faunanya.

“Secara langsung, UMK di Pulau Banding bakal menjadi hab khususnya bagi warga penyelidik sama ada dari dalam mahupun luar negara yang ingin meneroka khazanah Kompleks Hutan Hujan yang berkeluasan 300,000 hektar dan menjadi antara hutan yang tertua di dunia berusia lebih 130 juta tahun,” katanya.

Tambah Nik Maheran lagi, MoU ini juga sebagai platform perkongsian kepakaran yang meliputi penyelidikan, pemindahan ilmu, keusahawanan, program tanggungjawab sosial UMK dan PBF serta peluang para pelajar UMK untuk libat urus dalam aspek penganjuran bengkel, seminar mahupun ekspedisi.

Katanya, kelebihan sinergi antara ketiga pihak ini dikuatkan lagi dengan konsep penubuhan PBF dan BRM yang diilhamkan oleh Mustapha Kamal.

PBF dan BRM diwujudkan untuk saling melengkapi antara satu sama lain dari sudut Edu-Tourism dan Eco-Tourism.

BRM menguruskan Belum Rainforest Resort (BRR) iaitu sebuah resort bertaraf empat bintang yang dibangunkan di atas Pulau Banding terhasil daripada Piagam Pulau Banding yang digubal bersama-sama dengan badan-badan bukan kerajaan seperti WWF, MNS serta pihak-pihak berkepentingan.

Melalui MoU ini, BRR berperanan menawarkan peluang apprenticeship atau Live Training kepada para pelajar UMK khususnya daripada Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, di samping sama-sama melaksanakan projek-projek pembangunan masyarakat yang berkaitan seperti program kemasyarakatan bagi orang-orang Asli di hutan berkenaan.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, pihaknya amat bersyukur dengan kerjasama yang terjalin itu kerana inisiatif berkenaan akan memberikan kelebihan dalam usaha Kerajaan Negeri Perak dan Malaysia khususnya yang sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO World Heritage Site bagi Hutan DiRaja Belum.

“Sinergi ini diharap dapat memberikan manfaat kepada ketiga-tiga pihak untuk menjadikan Pusat Penyelidikan Pulau Banding, UMK-PBF antara Living Lab atau makmal terbuka setaraf dengan Danum Valley di Sabah dan BRR sebagai destinasi eko-pelancongan terunggul, sekali gus meletakkan nama Hutan DiRaja Belum di peta dunia,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok